“Kami ibarat sekumpulan tentera yang sudah tercedera, tanpa makanan dan tanpa sebutir peluru pun tetapi diarah ke medan perang!” – Dr Ahmad Ibrahim
3 min read
Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merangka Pelan Pemulihan Industri Kreatif sejajar Pelan Pemulihan Negara untuk mengekang pandemik COVID-19 dan memastikan penggiat industri dapat terus bergiat semula serta merancakkan industri kreatif negara.
Saranan FDAM ini dibuat bagi menyokong gesaan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) agar Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) ditunda ke tahun hadapan atau suatu masa lain yang lebih sesuai.
Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata, sebagai agensi kawal selia industri perfileman, FINAS perlu peka keadaan semasa yang tidak memungkinkan FFM31 dapat dijalankan dengan jayanya berikutan negara masih berhadapan isu kesihatan dan kesengsaraan hidup rakyat yang kehilangan punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang menghentikan sama sekali kegiatan ekonomi.
“Meskipun ia dijalankan sama ada secara hibrid atau virtual sepenuhnya tetapi ia tetap memerlukan kos dari aspek penyediaan trofi, pengacara dan sebagainya. Justeru FDAM berasakan masanya tidak sesuai untuk penganjuran FFM31 pada masa ini.
“FDAM berharap FINAS dapat mengemukakan kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mempertimbangkan syarikat penerbitan filem dan program televisyen dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga sekitar September atau Oktober depan.
“Ini bagi memulihkan kembali kehidupan lebih 10,000 penggiat industri kreatif yang majoritinya adalah karyawan bebas (‘freelancer’) yang bukan sahaja tiada pendapatan lain malah mereka juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, FDAM meminta FINAS mengemukakan cadangan kepada MKN dan KKM agar melonggarkan syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memberi kebenaran kepada pasukan penerbitan merentas negeri dan membenarkan penggambaran di zon hijau seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah selewat-lewatnya pada hujung Julai.
Justeru, KKM mestilah juga mempercepatkan program imunisasi berkelompok untuk kira-kira 9,000 orang pekerja filem, program TV dan iklan yang masih belum menerima jadual vaksinasi. FDAM mencadangkan agar program imunisasi untuk pekerja penerbitan dibuat dalam tiga fasa iaitu fasa pertama pada bulan ini, fasa kedua pada Ogos dan fasa ketiga pada bulan Septmber bagi membolehkan mereka memulakan atau menyambung kerja penggambaran yang terhenti berikutan pelaksanaan sekatan PKP 3.0
“Sejak PKP 1.0 banyak syarikat penerbitan tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak lagi dapat menampung kos operasi kerana kehilangan kontrak penerbitan serta menanggung hutang dengan pembiaya dana. Ini secara tidak langsung turut menjejaskan peluang penggiat industri untuk berkarya dan bekerja.
“Dalam situasi serba payah dan genting ini, FINAS tidak seharusnya mengutamakan festival semata-mata sedangkan nasib pekerja seni terumbang-ambing tanpa sedikitpun bantuan, seolah-olah kami bukan warganegara yang berjasa kepada negara. Apakah dalam situasi suram dan muram begini FINAS lebih memikirkan untuk berpesta sahaja?,” katanya.
Tambahnya, FDAM tidak menafikan kepentingan festival sebagai satu usaha bagi merancakkan industri penerbitan filem. Namun, dalam situasi sekarang, festival filem hanyalah hiasan semata-mata tanpa dapat dimanfaatkan oleh penggiat industri.
“Hidup insan seni yang ada kerja ada gaji ini terus tertekan dan tidak akan selesai dengan festival filem sahaja. Kami ibarat sekumpulan tentera yang sudah tercedera, tanpa makanan dan tanpa sebutir peluru pun tetapi diarah ke medan perang!. Sepatutnya FINAS perlu memikirkan bagaimana dana yang ada ini dimanfaatkan ke arah yang lebih membantu mengisi perut kosong kami.
“Sekarang bukanlah masanya untuk berfestival. Para pemuka FINAS yang sudah pastilah golongan cerdik pandai sepatutnya tahu, faham dan arif tentang perkara asas pengurusan. Utamakanlah perkara yang perlu didahulukan,” katanya.
- Kafebuzz.my

