01/07/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

10 filem pendek terbaik sempena Aidilfitri

3 min read

Raya sepatutnya hari kita semua bergembira. Namun, raya juga tidak terkecuali mengusik perasaan terkenang insan tersayang yang pergi selamanya.

Meskipun sambutan Aidilfitri kali ini dirai dalam suasana kurang meriah kerana ramai tidak dapat pulang ke kampung, ruangan media sosial dan TV pula tetap meriah dengan pelbagai program menarik.

Begitu juga, iklan raya dipertontonkan kepada khalayak dengan cerita berbeza dan mesej yang mahu disampaikan. Kreativiti dan penyampaian visual filem pendek yang dihasilkan syarikat seperti produk kecantikan mahupun syarikat pembangunan hartanah cukup menghiburkan dan jika dinilai, iklan mereka jauh lebih baik daripada iklan komesial lain di stesen TV.

Berikut 10 iklan terbaik raya pilihan Kafebuzz:

1. Setia Raya 2021 – Tradisi di hati, Setia di sisi

Kisah dua beranak iaitu bapa dan anak yang menghabiskan masa selama 10 jam bersama untuk memasak rendang daging. Mereka meluangkan masa bersama dari awal pagi hingga lewat malam. Meskipun anak memberi cadangan lebih mudah membeli rendang secara dalam talian tetapi bapanya mempunyai alasan tersendiri yang boleh membuatkan penonton menitiskan air mata. Mesej hubungan anak dengan bapa ini sangat kuat hingga ia ditonton lebih 2.4 juta kali.

2. TNB Raya 2021 – Hikmah Raya Aida

Nama watak utama iaitu Aida cukup sinonim dengan iklan raya terbitan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tahun ini, Aida kembali dengan cerita terbaharu kisahnya sebagai peniaga kuih raya yang berjaya. Bagaimanapun, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan pada bisnesnya hingga dia menyedari masa berharga yang sepatutnya diluangkan bersama ibunya. Filem pendek ini cukup menghiburkan dengan aksi lakonan bersahaja Aida dan ia ditonton lebih 10.5 juta kali.

3. Iklan Raya UMW Toyota 2021 – Umi Pembaris

Gelagat seorang ibu sering menegur anak-anak ketika berada di rumah mewujudkan hubungan mesra antara mereka. Mesej yang jelas ingin disampaikan pada penonton iaitu tindakan ibu tersebut adalah mahu mendidik anak-anak mengenai adat dan tradisi sebagai amalan serta mewujudkan hubungan lebih mesra dalam keluarga. Filem pendek ini ditonton lebih 2.2 juta kali.

4. Perodua Raya 2021 – #BajuSiapa

Kisah satu keluarga menguruskan bisnes kedai dobi. Watak anak perempuan tauke kedai dobi yang menyimpan perasaan pada Amir, pekerja Perodua menjadikan ceritanya menarik apabila keluarga itu sendiri menghantar baju Melayu Amir ke rumah lelaki itu. Mesejnya ringkas ialah merapatkan hubungan silaturrahim. Filem pendek ini ditonton lebih 2.2 juta kali.

5. Iklan Raya MR.DIY 2021: Kerana Azman

Persahabatan antara dua rakan iaitu Yusof bersama Azman memberi makna mendalam. Azman yang juga golongan orang kelainan upaya (OKU) seorang yang rajin dan baik membantu orang lain hingga kebaikan itu memberi idea pada Yusof untuk melakukan perkara yang sama apabila dewasa. Filem pendek ini berjaya menarik perhatian lebih 6.7 juta kali tontonan.

6. Digi Raya 2021 – Andaian

Seorang anak yang mempersoalkan kebaikan bapanya memberi hutang pada pelanggan kedai runcitnya memberi kesedaran padanya apabila dia mengetahui perkara sebenar. Dijayakan pelakon berpengalaman iaitu Sharifah Amani sebagai anak manakala watak bapa dibawakan Namron memang cukup menjiwai dan mengusik perasaan penonton. Tidak mustahil penonton akan menitiskan air mata dan filem pendek ini ditonton lebih 1.3 juta kali.

7. Bank Rakyat Raya 2021 – Raya Tetap Raya

Aksi comel seorang anak sulung yang mengelarkan diri kakak memang menghiburkan. Akibat PKP yang menyebabkan semua orang tidak dapat pulang beraya di kampung turut merusingkan kakak yang mahu beraya dengan tok dan nenek di kampung termasuk bertanyakan soal duit raya. Filem pendek arahan Mamat Khalid ini ditonton 474,702 kali.

8. Tak Apa, Biar Ayah Buat

Kisah anak yang sudah lama tidak pulang ke kampung akibat terasa hati dengan sikap bapa membuatkan hubungan mereka kembali disatukan pada Aidilfitri kali ini. Anak yang bekerja di Kuala Lumpur akhirnya pulang ke kampung. Tindakan anak membahagiakan bapanya dengan memberikan produk kelengkapan rumah jenama LG dan tindakan adik yang berjaya ‘memujuk’ kakaknya balik kampung menjadikan lebaran kali ini lebih meriah. Filem pendek ini ditonton seramai 213,028 kali.

9. MAE-mang Boleh Raya dengan MAE by Maybank2u

https://youtu.be/OWdvYL2Selg

Watak utama bapa dengan anak perempuannya mewujudkan konflik hingga anak meminta bantuan bapanya itu untuk membantunya menyiap projek seni pertama yang menggabungkan animasi dengan wayang kulit. Filem pendek ini ditonton lebih 1.7 juta kali.

10. SAFI Raya Kau Hijau 2021

Hubungan antara jiran menjadi subjek dalam cerita yang mahu disampaikan dalam filem pendek ini. Sikap seorang anak yang terlalu beremosi dan berfikiran negatif akibat dipengaruhi Makcik Bawang akhirnya sedar tindakan yang dilakukan ibunya sendiri membantu lelaki di sebelah rumah. Filem pendek yang dilakonkan pelakon popular, Amy Mastura ini ditonton lebih 4.7 juta kali.

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *