Kontroversi terpalit ketika Neelofa muncul program terbaharu
2 min read
Kebelakangan ini nama Neelofa boleh diterjemah sebagai selebriti paling popular di Malaysia.
Bukan saja mempesona dengan imej berniqab, usahawan terbaik dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2017 ini tidak sunyi dengan kisah atau ceritanya untuk dikongsi bersama khalayak.
Selepas majlis perkahwinannya menjadi kontroversi gara-gara melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) hingga dikenakan denda, sekali lagi isu yang sama menjadi tumpuan ramai.
Ada yang berseloroh ‘isteri saya bukan seperti Neelofa’, pergi ke Pulau Langkawi atau beli karpet di Nilai 3, bagaimanapun apa yang berlaku pada Neelofa sepatutnya dijadikan pengajaran pada semua rakan artis terutama puan punya badan.
Ramai peminat dan penonton Astro pastinya terhibur menonton program terbaharu, NtoN (Neelofa dan Nabil) yang merupakan sebuah program bual bicara yang bukan sembang isu hiburan tetapi lebih kepada menghayati cara hidup dan amalan yang dilakukan Baginda, Nabi Muhammad SAW.
Program secara santai itu menjemput ustaz dan ustazah berbeza pada setiap minggu, Sabtu dan Ahad yang disiarkan pada waktu perdana jam 9 malam. Bersempena dengan keberkatan Ramadan, pertaruhan produksi Astro menerbitkan program keagamaan itu nyata berjaya dan memberi kelainan dalam program hiburan sedia ada.

Berbalik pada kontroversi Neelofa dengan isu SOP, peminat sudah tentu mengharapkan artis kesayangan mereka ini tidak mengulangi kesalahan yang dianggap serius memandangkan pandemik COVID-19 masih merebak dan larangan kerajaan agar tidak merentas negeri masih berkuatkuasa.
Apakah kontroversi Neelofa menjejaskan persepsi dan sambutan penonton terhadap program terbaharunya, NtoN? Dalam dunia artis, kontroversi juga adalah medium terbaik untuk promosi kerana ia cepat menarik perhatian ramai.
Jika dibuat perbandingan, siapa selebriti yang mampu menandingi kehebatan Neelofa sebagai selebriti TV popular dan usahawan yang memberi impak pada dunia dalam bidang fesyen. Hakikatnya, ramai yang masih sayangkan Neelofa termasuk rakan artis juga menegurnya di media sosial.

Dalam kalangan pengamal media, Neelofa yang dikenali sejak zaman anak dara ketika masuk bidang hiburan ialah seorang selebriti yang disenangi, murah senyuman, mesra dan tidak sombong bila ditanya apa jua soalan wartawan.
Selain terpesona melihat kelibatnya di TV dan suka minum susu Nilofa, ramai juga yang mengakui aplikasi TheNoor memberi banyak manfaat pada muslim untuk mengaji dan mambaca terjemahan al-Quran.
Dalam kita semua mencari malam Lailatul Qadar, marilah kita semua mendoakan semoga Neelofa lebih istiqomah berdepan kontroversi ini dan terus sukses dalam hidup. Ingat, ramai peminat yang masih sayangkan Neelofa.
- Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi yang merupakan editor pengurusan Kafebuzz.
- Kafebuzz.my

