02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Nama suspek video judi tiada dalam rekod ahli FDAM

2 min read

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti suspek yang terlibat dalam pembikinan video Aidilfitri mempromosi judi dalam talian yang tular di media sosial sejak 15 April lepas.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim menyelar pihak bertanggungjawab yang sanggup mencemar kesucian Ramadan dan Syawal serta mengguris perasaan umat Islam dengan penerbitan video itu.

Beliau berpandangan insiden video itu juga telah memalitkan onar kepada karyawan filem terdiri daripada pengarah, kru produksi dan pelakon yang sentiasa menjaga integriti mereka sebagai penggiat industri kreatif.

“Sebagai persatuan yang mengawal selia aktiviti pengarahan dan integriti para pengarah, FDAM sentiasa memastikan ahli kami mematuhi etika seperti yang digariskan dalam perlembagaan. Sesiapa yang didapati melanggar etika akan dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib untuk diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas nama suspek yang disebut dalam siasatan polis, Dr Ahmad menjelaskan bahawa setakat ini FDAM tidak menemukan nama-nama tersebut dalam rekod keahliannya.

“Jika ada, kami akan bertindak mengikut perlembagaan kami tanpa mengganggu siasatan polis,” jelasnya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Mat London dalam kalangan penggiat filem berharap semua karyawan sama ada pengarah, kru produksi dan pelakon agar sentiasa mematuhi perlembagaan persatuan masing-masing dan undang-undang negara.

Tanpa menyebut mana-mana persatuan, Dr Ahmad berkata setiap pemimpin persatuan perlu memantau ahli masing-masing agar nama baik persatuan dan industri perfileman Malaysia sentiasa terpelihara.

Beliau juga menasihati semua pengarah filem khususnya ahli FDAM agar tidak mengambil kesempatan menyebar video kontroversi tersebut yang boleh mengundang sensitiviti.

Sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *