02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

FDAM kongsi kejayaan pengarah filem Malaysia bertaraf antarabangsa

3 min read

Pencapaian pengarah tempatan Ray Lee bersama isterinya, Misha Minut di peringkat antarabangsa suatu yang dapat dibanggakan.

Ia bukan saja menambat hati juri World Film Carnival (WFC) Singapore 2021 dan International Symbolic Art Film Festival di Russia yang mengiktiraf filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie sebagai Filem Seram Terbaik tetapi turut menarik perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan penghargaan buat kedua pembikin filem itu. (Baca lagi: Perdana Menteri beri kata semangat, Belaban Hidup: Infeksi Zombie raih kejayaan berganda di Russia)

Berkongsi kejayaan tersebut, Ray bersama Misha hadir menjayakan program Simposium Pengarah Muda yang diadakan di Panggung 1, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ray bersama Misha berkongsi kisah kejayaan filem mereka, Belaban Hidup: Infeksi Zombie bersama peserta program Simposium Pengarah Muda di FINAS, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. (Foto: FDAM)

Acara julung kali diadakan pada tahun ini bermatlamat menghimpun pengarah muda untuk mencari tanda aras sebagai ‘Young Filmmakers’ atau Pembikin Filem Muda yang dinamik dan berinspirasi.

Menariknya, simposium anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) ini memaparkan perkongsian maklumat mengenai penyertaan filem tempatan ke acara festival filem antarabangsa dan pencapaian beberapa pengarah lain yang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Kisah kejayaan anak muda melalui perjalanan yang sangat mencabar sebagai pengarah filem dijadikan panduan pada pembikin filem lain. Ini penting dalam menentukan hala tuju dan kemajuan pengarah muda selepas ini.

Dr Ahmad Ibrahim (kanan) bersama Mohamad Zaini Hassan (kiri) dan tetamu kenamaan, Zakaria Abdul Hamid hadir memeriahkan Simposium Pengarah Muda. (Foto: FDAM)

Merujuk satu kenyataan FDAM, sasaran program ini adalah pengarah peringkat amatur yang diharapkan dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu dalam bidang pengarahan. Seramai enam penceramah terbabit dalam program selama sehari ini terdiri daripada Putri Purnama, Ella Ruslan, Ray Lee bersama Misha Minut, Chong Keat Aun dan Yoki Chin.

“Pemilihan individu-individu ini yang juga pengarah filem adalah berdasarkan pengalaman dan pencapaian mereka yang membanggakan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Putri Purnama pernah mencipta nama menerusi anugerah Pembikin Filem Muda Terbaik pada Malaysian Digital Film Awards 2017 sebelum mencuri perhatian khalayak dengan karyanya berjudul Rumah Ndak Bertanah yang mendapat penghargaan Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada Pesta Filem Kita 2019 serta menjadi 12 finalis teratas untuk HFPA Snow Leopard Scholarship Awards pada Asian World Film Festival 2021 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat,” katanya.

Dr Ahmad Ibrahim menyampaikan sijil penghargaan kepada Puri Purnama atas kejayaan filemnya di peringkat antarabangsa. (Foto: FDAM)

Pengarah filem, Ella Ruslan pula menyerlah menerusi filem pendek arahannya, ‘Coofie & Sexy Dress’ yang meraih beberapa pencalonan di festival filem antarabangsa iaitu di Gwangju International Film Festival (Korea), Slum Film Festival (Kenya), Golden Diana International Film Festival (Austria), Chennai International Short Film Festival (India) dan juga ditayangkan pada Festival Filem Cannes.

Pencapaian pengarah tempatan Chong Keat Aun dikenali ramai selepas filemnya berjudul ‘The Story of Southern Islet’ (2020) memenangi The International Critics Prize (FIPRESCI Prize), anugerah NETPAC, Observation Missions for Asian Cinema Award, Anugerah Pengarah Baharu Terbaik pada 57th Golden Horse Awards, Filem Terbaik dan Pengarah Baharu Terbaik pada 12th China Film Critics Prize serta Pengarah Baharu Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Hong Kong Ke-45.

Ella bercerita kejayaan filem pendeknya yang meraih banyak pengiktirafan dan penyertaan di acara festival filem antarabangsa. (Foto: FDAM)

Nama pengarah filem Malaysia terus gah di persada dunia apabila Yoki Chin menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan antarabangsa. Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FilmPoint Sdn Bhd serta Pengasas/Presiden POINT College ini menjalankan syarikat usahasama miliknya, Anima Point yang terlibat dalam projek animasi ‘Angry Birds’ & ‘Lego StarWars’.

Apa yang membanggakan, penyertaan Sedunia ‘Asian Best Film Direction’ dan ‘Best of the Best’ yang dianugerahkan di Berlin selain Telly International (Winner Awards), Apollo Asian Gold Awards, Malaysia Film Festival Gold Awards dan Malaysia OSCAR Gold Awards. Beliau juga pernah memenangi ‘The Brand Personality Award’ pada World Brand Laureate Awards di Shenzhen, China.

Yoki menerima sijil penghargaan FDAM daripada Dr Ahmad Ibrahim sambil disaksikan Mohamad Zaini. (Foto: FDAM)

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid juga hadir memeriahkan program ini. Selain perkongsian kisah kejayaan pengarah filem tempatan kali ini bersama peserta yang hadir, simposium ini dianggap penting dalam membentuk satu resolusi untuk diperjuangkan pengarah filem amatur.

Resolusi ini akan dirangka dan dibentangkan kepada FINAS selepas simposium berakhir untuk perancangan dan cadangan penambahbaikkan kepada industri perfileman tempatan serta pada masa sama menyelesaikan pemasalahan dan isu yang berlaku dalam kalangan pembikin filem.

Dr Ahmad Ibrahim menyampaikan cenderamata eksklusif FDAM kepada Zakaria. (Foto: FDAM)
Program Simposium Pengarah Muda menyasarkan penyertaan pengarah muda bertaraf amatur menimba ilmu perfileman daripada pengarah berpengalaman. (Foto: FDAM)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *