Kenangan manis Ebit Lew buat anak-anak Afrika
2 min read
Beza agama dan budaya bukan halangan.
Melihat bagaimana Ustaz Ebit Lew bermanja dengan anak-anak kulit hitam di Afrika Selatan membuat kita sebagai manusia terfikir berapa ramai manusia yang kaya dapat membantu orang lain yang jauh di pelusuk dunia agar hidup selesa.
Merujuk satu status penceramah agama terkenal yang bersifat dermawan itu, beliau membina sebuah penempatan untuk anak-anak gelandangan yang dikenali sebagai Rumah Kasih Umat.
“Sebak sayu bila ambil anak ini semua dari jalanan. Syukur dapat bina Rumah Kasih Umat dapat menjaga mereka,” katanya.

Dalam video tersebut kelihatan Ebit melakukan aktiviti riadah bersama anak-anak jalanan berkenaan sebelum memberi snek dan air minuman kepada golongan tidak bernasib baik itu.
Ujarnya, kanak-kanak yang berada di pusat jagaan itu mempunyai sejarah pernah tinggal di bawah jambatan dan tepi jalan.
“Mereka terlalu seronok nak sekolah dan tempat tinggal. Tak berhenti tanya nak mula sekolah dan nak beli baju sekolah,” katanya.
Bukan itu saja, Ebit juga membeli sebuah kereta iaitu Suzuki Swift untuk kegunaan Rumah Kasih Umat.

Beberapa hari lalu, Ebit turut menarik perhatian netizen apabila membantu seorang lelaki gelandangan berusia 60 tahun yang tinggal di jalanan selama 15 tahun.
Apa yang menarik dikongsi dalam kisah penggembaraan pendakwah itu, beliau membantu lelaki yang dikatakan orang gila membeli pakaian baru, belanja makan ayam KFC dan membawa lelaki itu tinggal di hotel.

Sumbangan dan sedekah amal jariah yang dilakukan Ebit adalah suatu yang memberi makna besar buat golongan kanak-kanak terbabit dan lelaki geladangan berkenaan.
Dalam situasi penduduk di seluruh dunia masih ‘berperang’ melawan pandemik COVID-19, Ebit pula memberanikan diri merantau jauh hingga ke Afrika Selatan untuk menjalankan misi bantuan kemanusian peringkat antarabangsa itu.
Ini semua pasti menjadi kenangan manis buatnya apabila pulang ke tanah air nanti.
Syabas buat Ebit Lew!
– Kafebuzz.my

