18/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Belaban Hidup: Infeksi Zombie letak standard filem seram terbaik dunia, Ray Lee intai peluang ke Hollywood

2 min read

Kemenangan filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie memberi petanda.

Industri perfileman dunia mengiktiraf karya dari Malaysia selepas filem genre seram arahan Ray Lee ini berjaya meraih anugerah Filem Terbaik pada acara Karnival Filem Dunia di Singapura baru-baru ini.

Kejayaan pengarah tempatan ini yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) adalah suatu yang besar dan dibanggakan buat industri perfileman tanah air tetapi apa yang paling penting ialah filem ini berjaya meletakkan standard filem seram Malaysia terbaik di dunia.

Lebih menarik, filem ini membawa kisah zombie versi Malaysia yang diterima juri festival filem bertaraf antarabangsa itu. Ray bukan saja mencipta kelainan daripada kisah zombie yang banyak di pasaran filem antarabangsa, sebaliknya filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment ini menampilkan zombie yang berlaku dalam masyarakat Dayak di Sarawak.

Ray Lee (kiri) bersama isteri, Misha Minut ketika di lokasi penggambaran filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie. (Foto: Ray Lee)

Bagi Ray, kejayaan ini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi berharap ia memberi inspirasi pada pembikin filem lain khususnya generasi muda agar menghasilkan lebih banyak filem.

“Ini adalah usaha kami bermula daripada menghasilkan lebih 20 filem pendek hingga meraih anugerah untuk filem cereka di World Film Carnival di Singapura,” katanya kepada Kafebuzz.

Ray Lee (kanan) bersama isterinya, Misha Minut berjaya membawa kisah zombie berbeza membabitkan masyarakat Dayak di Sarawak dalam filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie. (Foto: Ray Lee)

Tambahnya, filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie turut meraih dua pencalonan di International Symbolic Art Film Festival di Russia untuk kategori Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik yang akan berlangsung pada 27 Mac ini.

“Selepas Singapura, filem ini akan cuba menjelajah ke festival filem di Amerika Syarikat, United Kingdom, India, New Zealand, Australia, Jepun dan Perancis,” katanya.

Ray Lee, pengarah yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) meraih pencapaian antarabangsa menerusi filem sulungnya, Belaban Hidup: Infeksi Zombie. (Foto: Ray Lee)

Perkembangan terbaharu, Ray berkongsi berita gembira apabila filemnya itu mendapat pencalonan bertanding pada Marina Del Rey Film Festival di Los Angeles.

Langkah seterusnya

Ray Lee (kanan) bersama David Chua berbincang mengenai filem terbaharu yang membabitkan kerjasamanya dengan aktor Hollywood. (Foto: Ray Lee)

Dalam usaha membawa filem pertamanya itu menjelajah ke seluruh dunia, Ray juga memberitahu dia sudah mempunyai perancangan untuk menerbitkan filem seterusnya.

“Saya ada berbincang untuk projek filem terbaharu dengan produser Malaysia yang tinggal di Los Angeles. Apa yang menjadi impian saya kali ini ialah membawa aktor Hollywood berlakon dalam filem Malaysia,” katanya.

“Dia iaitu David Chua merupakan produser eksekutif untuk filem lakonan Kurt Rusell berjudul Crypto. Mengikut perancangan, filem terbaharu ini akan menjalani penggambaran pada tahun depan yang mengambil lokasi di Sarawak,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *