03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

2 juta pengguna pilih Smart Selangor Parking, bayar parkir lebih mudah

2 min read

Penerimaan penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) dalam kalangan penduduk Selangor semakin mendapat sambutan menjelang suku ketiga tahun 2022.

Sehingga Julai tahun ini, lebih dari 2 juta pengguna muat turun aplikasi (SSP) dan peningkatan jumlah pengguna baharu menunjukkan penerimaan masyarakat kepada penggunaan aplikasi ini berkembang. 

Ketua Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Mazlan Mahadi berkata, peningkatan pengguna aplikasi tersebut dilihat semakin bertambah apabila SSDU melaksanakan kempen pemberian kredit percuma kepada pengguna baharu sepanjang Program Jelajah Selangor Penyayang anjuran Kerajaan Negeri Selangor. 

“Masyarakat dilihat semakin menerima penggunaan aplikasi digital kerana ia lebih memudahkan mereka dalam menguruskan urusan harian. Selain membantu dalam pembayaran tapak parkir pengguna, aplikasi tersebut juga menunjukkan aras kemajuan yang baik kepada Negeri Selangor yang mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar berdaya huni di ASEAN menjelang tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Orang ramai tertarik untuk mengetahui lebih lanjut aplikasi Smart Selangor Parking ketika mengunjungi Program Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. (Foto: SSDU)

Menurutnya, dua lagi lokasi jelajah yang akan berlangsung pada bulan ini dan SSDU menganggarkan bilangan pengunjung yang akan memuat turun aplikasi ini akan bertambah berikutan lokasi yang amat strategik dengan kepadatan penduduk.

“Dua lokasi jelajah seterusnya bertempat di Dataran Boulevard, Laman MBPJ Petaling Jaya pada 23 Julai ini, manakala yang terakhir akan berlangsung di Padang Awam Batu Caves Gombak pada 31 Julai ini. 

“Sebelum ini pengguna perlu membeli kupon di lokasi tertentu untuk melakukan pembayaran parkir kereta. Keadaan ini dilihat agak menyukarkan kerana tidak semua kedai dan juga wakil jualan berada di satu kawasan apabila pengguna memerlukan kupon untuk pembayaran parkir kereta,” katanya. 

Lebih dari 2 juta pengguna muat turun aplikasi Smart Selangor Parking. (Foto: SSDU)

Tambahnya, selepas pembayaran parkir kereta secara digital sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 April 2022, SSP bukan sahaja dapat memudahkan pengguna untuk bayar parkir kereta, bahkan mengurangkan jumlah penjimatan kertas sehingga hampir 150 kilogram. 

Tambahan, selain dari memperkasakan aplikasi SSP, SSDU juga membina aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat), sebuah platform pembayaran atas talian melibatkan perkhidmatan permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran di lapan PBT di Selangor. 

Kedua aplikasi ini boleh dimuat turun di Apple Appstore bagi pengguna peranti IOS dan juga Google Play Store bagi pengguna peranti Android. 

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *