04/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

TV9 Wajah Baharu, kisah sejarah Jalur Gemilang menerusi Menjulang Takzim Jalur Gemilang

4 min read

Tidak ramai tahu sejarah Jalur Gemilang.

Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, rakyat Malaysia berpeluang menonton satu dokumentari khas, Menjulang Takzim Jalur Gemilang disiarkan jam 8.30 malam ini (16 September).

Program ini memaparkan sejarah di sebalik nama Jalur Gemilang iaitu bendera kebanggaan yang melambangkan identiti Malaysia. Menariknya, program ini juga merungkai persoalan mengenai kepentingan bendera dalam perspektif Islam dan peranannya dalam pembinaan negara. Ia diterbitkan TV9 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia.

Buat penonton, TV9 kini berwajah baharu dengan tagline, Destinasi Hiburan Satu Keluarga. Sejak Ogos lalu, TV9 melakukan perubahan secara berperingkat dengan mengaktifkan waktu perdana lebih awal jam 6 petang. Tarikh 9 September 2021 dipilih sebagai tarikh yang dinantikan bagi saluran TV9 apabila tampil dengan wajah baharu untuk menjadi destinasi hiburan keluarga dalam kalangan penonton setianya.

Sherina Nordin.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9, Sherina Nordin, selari dengan pembaharuan program yang lebih relaks dan santai, TV9 berkolaborasi dengan Datuk Rosyam Nor, Alif Satar, Amyra Rosli, Naim Daniel dan Zharif Zhafri selaku rakan-rakan TV9 mewakili dua komponen utama (DNA) TV9 iaitu keluarga (family) dan kepentingan masyarakat (community interest).

“Trend masyarakat menonton TV sudah berubah sejak pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan pada tahun lepas. Inilah waktu yang sesuai untuk TV9 memperkenalkan pembaharuan di slot waktu dan kandungan program supaya kekal relevan.

“Kami berharap agar TV9 menjadi destinasi keluarga anda yang dapat menemui kepuasan, keriangan dan menikmati sajian program yang lebih santai.

“Waktu perdana di TV9 bermula 6 petang dengan program animasi, diikuti Buletin TV9 pada 7 malam, seterusnya program bual bicara baharu, Sembang Viral, Senario, drama-drama menarik seperti Budak Intern, The Venom’s Tale (Thailand), Flower of Evil (Korea) serta slot Kuasa 3 Malam yang menampilkan 3 filem popular tempatan dan Bollywood dalam satu minggu.

“Tidak lupa juga dokumentari khas bersempena dengan Hari Malaysia iaitu Menjulang Takzim Jalur Gemilang. Hujung tahun nanti, Insha Allah kita akan sajikan drama siri yang baru Keluarga Untuk Disewa dan Mr Millenium,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sempena wajah baharu TV9, satu sidang media secara maya juga diadakan baru-baru ini yang turut dihadiri Ketua Pengarang Berita, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Mohd Redzuan Abdul Manap.

Bermula dari 6 petang, TV9 menyiarkan seleksi program animasi terbaik dari dalam dan luar negara. Selain animasi Nickelodeon yang menjadi pilihan utama penonton cilik, TV9 menyiarkan Legends of Dawn: The Sacred Stone bermula 5 September lalu, setiap Ahad, 6 petang. Kisah ini diadaptasi daripada Mobile Legends: Bang Bang, sebuah permainan video iaitu arena pertempuran dalam talian berbilang pemain yang sangat popular dalam kalangan pemain MOBA.

Slot berita waktu perdana di TV9 kini dikenali sebagai Buletin TV9, program berita nombor 2 negara tampil lebih relevan, padat dan lebih diyakini dengan memaparkan siaran berita sejam lebih awal. Buletin TV9 juga memaparkan 4 segmen mingguan menarik iaitu Pintu Rezeki, Bijak Tani, Cari Pahala dan Tradisi Kita. Liputan berita komuniti dan jenayah paling awal bersama-sama barisan pembaca berita baharu dan sedia ada iaitu Zharif Zhafri Abdul Aziz, Ahmad Barr Zainal Abidin, Intan Syazwina Suhaimi, Nur Affiza Azmi, Wan Saifulizam Wan Ahmad, Shamellya Norazizi dan Zaira Sri Zakaria.

Program Sembang Viral, sebuah kapsul berdurasi 10 minit dihoskan Rosyam dan Fedtri Yahya bersiaran pada setiap hari jam 7.30 malam bermula 13 September lalu. Mereka akan membincangkan isu-isu yang dikongsikan netizen di media sosial dari perspektif Islam secara santai bersama-sama ahli panel jemputan.

The Venom’s Tale yang kini hangat disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.30 malam bertukar waktu siaran pada jam 7.40 malam bermula 13 September lalu. Drama popular Thailand ini mengisahkan cinta tiga segi antara dewi ular, putera raja dan tunangnya pada 500 tahun lepas. Demi memiliki lelaki itu, dewi ular menjampi putera raja itu bahawa dia akan menjelma sebagai ular setiap kali tibanya malam bulan purnama.

Bersesuaian untuk penonton remaja, drama bersiri, Budak Intern lakonan Intan Najuwa, Syafie Tee, Bella Dowanna dan Malek McCrone akan bermula pada 22 September ini, setiap Rabu dan Khamis, jam 9.30 malam. Drama sebanyak 16 episod ini mengisahkan suka duka sekumpulan pelatih industri yang baru hendak berjinak dalam industri pengiklanan. Bainun, Izzy, Ryan dan Karl mempunyai sebab sendiri untuk bekerja sepenuh masa selepas latihan industri tamat. Selepas habis waktu kerja, mereka sering menghabiskan masa di sebuah kafe milik kakak Karl.

Bagi peminat K-drama, drama bersiri Flower of Evil lakonan Lee Joon Gi dan Moon Chae Won bersiaran pada setiap Rabu dan Khamis, 10 malam dan Jumaat (10.30 malam). Baek Hee Sung ialah seorang suami dan bapa penyayang tetapi mempunyai sejarah hitam yang bakal memusnahkan kebahagiaan hidupnya. Isterinya, Cha Ji Won ialah seorang anggota polis yang mula menemui bukti-bukti baharu dalam kes jenayah lama di mana ia menggambarkan Baek Hee Sung sebagai pembunuh bersiri.

Keseronokan menonton filem kegemaran di TV9 bukan saja akan berganda malahan ia akan menjadi kuasa tiga apabila menonton 3 filem popular tempatan dan Bollywood pada setiap minggu menerusi Kuasa 3 Malam. Barisan filem hebat lain antaranya termasuk filem lagenda Kuch Kuch Hota Hai, pada setiap Selasa, jam 9.30 hingga 11 malam dan setiap Sabtu dan Ahad, 8.30 hingga 10.30 malam.

Kerjasama strategik antara TV9 dan WOWSHOP terus memaparkan kandungan lebih segar dan mengukuhkan penjenamaan pada waktu siang dalam memastikan penonton TV9 ‘Janji Happy’. Pelbagai promosi menarik disediakan sepanjang September antaranya pulangan tunai sebanyak RM9 bersempena dengan sambutan ‘Janji Happy’ dan ‘WOW You, 3 Million’. Promosi ini berlangsung dari 13 hingga 30 September ini menerusi program Sembang Viral.

Barisan selebriti yang hadir pada sidang media TV9 Wajah Baharu, baru-baru ini.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *