04/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

TV Kita Untuk Semua, Bangkit Bersama TV AlHijrah rai sambutan ke-11

3 min read

Berdepan pandemik COVID-19, stesen TV AlHijrah menjadi media penyiaran tempatan yang berusaha mendekati penonton mereka.

Usaha ini dilakukan secara konsisten pada setiap bulan menerusi penerbitan program baharu yang membawa pendekatan memeluk emosi dan memberikan santapan rohani kepada penonton.

Istimewa pada 10 Ogos ini bersama 1 Muharram 1443H, TV AlHijrah akan meraikan ulangtahun ke-11 dengan menyediakan pelbagai program menarik untuk disajikan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, tema sambutan ulang tahun kesebelas TV AlHijrah iaitu TV Kita Untuk Semua, Bangkit Bersama TV AlHijrah jelas menyatakan harapan stesen televisyen Islamik ini agar rakyat Malaysia tidak mudah berputus asa memerangi COVID-19.

“Terus bersama TV AlHijrah. Suntikan semangat untuk terus bersatu hati, berpimpin tangan dan bersolidariti memerangi COVID-19 akan diterjemah menerusi hidangan pelbagai rancangan menarik, segar dan membaja nurani bermula 4 Ogos 2021 hingga 11 September 2021.

“Antara rancangan menarik yang akan dihidangkan adalah Solidariti Yasin 2.0, Siaran Langsung Istimewa Ulang Tahun TV AlHijrah, Assalamualaikum, Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu dan #Merisik Khabar,” katanya.

Namanzee Harris

Menurutnya, selain daripada barisan rancangan istimewa tersebut, TV AlHijrah juga memperkenalkan dua slot baru yang akan dilancarkan istimewa sewaktu Kempen Ulang Tahun Ke-11 TV AlHijrah iaitu Slot Deen dan Slot Kesuma.

“Slot Deen adalah slot kerohanian yang disiarkan setiap hari, jam 7.30 malam. Antara rancangan yang akan dihidangkan di slot ini adalah Cinta Ilmu, Tawajjuh, Ngaji On The Go, Riwayat Akhir Zaman, Bila Hijab Terbuka, Kembara Masyar, Hakikat Takikat Makrifat dan E-Kaunter Netizen.

“Manakala Slot Kesuma adalah slot khas buat penggemar telefilem tempatan dan antarabangsa. Slot ini akan disiarkan pada setiap Ahad, jam 9 malam dan sesuai dijadikan tontonan seisi keluarga. Untuk Ogos, kami akan siarkan telefilem Dealova, Iqlab dan Kabut Semalam,” katanya.

Pada 10 Ogos ini, TV AlHijrah akan bersiaran secara langsung dari jam 7 pagi hingga 4 petang iaitu bermula program Assalamualaikum jam 7 pagi diikuti Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu (11 pagi) yang merupakan imbasan suka duka dan pahit jerih sepanjang sebelas tahun TV AlHijrah bersiaran.

Amin Idris dan Irma Hasmie akan menjadi hos program istimewa ini ditemani personaliti-personaliti yang pernah mewarnai program-program di TV AlHijrah seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Amna Faizal, Ustaz Syed Shahrizan Daud Al-Turabi dan Chef Iskandar Ishak. Program ini akan diselitkan dengan alunan selawat yang akan dipimpin oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Jalal Zaiki.

Pada jam 2 petang pula, penonton berpeluang menyaksikan program #Merisik Khabar bersama Abu Talib Husin dan Farah Diana Annuar yang mengambil tempat sebagai pengacara. Fokus perbincangan lebih tertumpu kepada pengorbanan yang dilakukan oleh frontliners dan golongan seperti anak seni serta masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini.

Antara tetamu yang akan berkongsi ilmu dan pengetahuan pula adalah para asatizah yang tidak asing lagi seperti Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang, Ustaz Dr. Farid Ravi, Ustaz Wadi Anuar, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi dan Ustaz Abdullah Khairi manakala selawat pula akan dialunkan oleh Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Amir Rahman Dan Ustaz Dr. Anuar Hasin.

Selain itu, TV AlHijrah juga akan turut menyajikan kandungan lain seperti kapsul Kebangkitan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal menyerikan lagi sambutan ulang tahun TV AlHijrah yang ke-11 ini.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *