05/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Sasar RM5 Juta Hasil ‘Business Matching’

2 min read

Acara ‘Business Matching’ yang diadakan sempena penganjuran KL Converge untuk tahun kedua kali ini berjaya mewujudkan 600 pertemuan antara pembeli, pengedar dan penyiar dari seluruh rantau Asia termasuk Australia, Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan Timur Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Creative Content Association Malaysia (CCAM), Datuk Mohd Mahyidin Mustakim selaku penganjur bersama berkata, pertemuan selama setengah jam untuk setiap sesi itu mendapat sambutan positif dalam kalangan 40 peserta termasuk 38 pengedar yang diatur untuk sesi pertemuan ini.

“Semalam sesi pertemuan ini berlanjutan sehingga 7.30 malam. Berbanding peluang orang kita untuk ke luar negara agak sukar, acara ini menjadi platform untuk mereka berjumpa,” katanya kepada Kafebuzz, hari ini.

Menurutnya, mereka yang terbabit dalam acara ini berpeluang menjual produk atau karya yang sudah diterbitkan selain menjalinkan kerjasama untuk projek baru.

“Ini juga menjadi platform untuk memulakan sesuatu kerjasama dari segi penerbitan seperti dokumentari dan animasi.

“Kami menyasarkan RM5 juta daripada perniagaan ini dan perbincangan mengenai penerbitan bersama akan membuahkan hasil.

“Ini menjadi pertemuan pertama orang kita dengan orang luar dan maklum balas yang diterima daripada mereka amat baik dan kagum dengan apa yang kita sediakan termasuk tahap penerbitan kita sendiri,” katanya.

Tanbahnya, acara KL Converge ini menyediakan infrastruktur moden dan tersedia yang mampu menghasilkan produk atau karya berkualiti tinggi sebagai asas untuk kerjasama seterusnya.

Acara ini disertai 75 produksi tempatan termasuk dari Hong Kong, Thailand, Vietnam, Indonesia dan China.

“Saya percaya acara ini akan diteruskan pada masa akan datang. Lagipun, acara seperti ini bukan mudah untuk orang kita jual atau menjalinkan kerjasama dengan orang luar jika mahu dilakukan di luar negara,” katanya.

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *