04/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Persiapan ke Makkah dan konflik percintaan dalam Bujang Haji di Slot Qalbu TVAlHijrah

2 min read

COVID-19 memberi impak besar kepada sosioekonomi masyarakat Malaysia.

Namun, musibah pandemik ini juga mengajar kita agar lebih menghargai masa dan keluarga tercinta. Bagi memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, TV AlHijrah kali ini tampil dengan slot drama bersiri terbaharu iaitu Slot Qalbu.

Buat penonton setia TVAlhijrah, slot Qalbu menyiarkan barisan drama bersiri terbaharu, menarik dan memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian penonton. Drama-drama ini akan disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang. Sebagai permulaan, Drama Bujang Haji ditayangkan bermula 8 Jun lalu sebanyak 13 episod.

Menariknya, karya arahan Isqandar Jebat di bawah penerbitan Hujan Lebat Sdn Bhd adalah antara drama yang diterbitkan dan disiarkan dengan Kerjasama Dana Pembangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Inisiatif dana ini ditawarkan bagi membantu syarikat produksi filem dan TV tempatan menerbitkan karya untuk slot khas di platform televisyen menerusi projek industri kreatif berkualiti tinggi serta berupaya menembusi pasaran antarabangsa. Di samping itu juga, dana ini berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat COVID-19.

Aksi Nasha Aziz menerusi drama bersiri, Bujang Haji di slot Qalbu, TV AlHijrah.

Sinopsis

Bujang Haji mengisahkan tentang tiga sahabat bujang iaitu Yus, Adi dan Ucup yang bekerja sebagai penjual ikan segar di pasar harian. Rutin harian mereka adalah rutin harian biasa yang dilalui anak muda setempat lain.

Semuanya berubah apabila Haji Isa datang ke gerai mereka untuk membeli ikan. Haji Isa mahu mengadakan kenduri doa selamat, menjamu laksa kepada orang kampung sebagai tanda syukur dia terpilih untuk melaksanakan ibadah haji dalam masa terdekat.

Bermula detik itu, Yus, Adi dan Ucup seperti terpanggil dan mendapat semangat baru iaitu turut serta ke kota suci Makkah melaksanakan rukun Islam kelima itu. Mereka semakin sibuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan bekalan kewangan yang cukup agar urusan haji mereka berjalan lancar.

Di sebalik pembikinan drama bersiri, Bujang Haji.

Ketiga-tiga mereka bekerja keras untuk mencapai misi suci ini. Pelbagai peristiwa berlaku apabila masing-masing saling berlumba-lumba menunjukkan kesungguhan dan juga semangat mereka untuk menunaikan haji hingga timbul konflik percintaan.

Yus, Adi dan Ucop tersepit di antara niat suci mereka ke Makkah dan kehendak kekasih masing-masing. Kekasih Yus, Adi dan Ucop sibuk mengajak mereka untuk mencari kelengkapan persiapan Aidiladha sedangkan mereka sudah kesuntukan masa untuk melaksanakan persiapan akhir ke Makkah.

Namun, tiga sahabat ini mengatur strategi agar niat mereka untuk menunaikan ibadah haji tertunai dan kisah percintaan mereka juga kekal tanpa sebarang masalah.  Yus, Adi dan Ucup mengambil langkah drastik untuk melangsungkan perkahwinan sebelum mereka berangkat untuk mengerjakan haji. Akhirnya tiga sahabat ini dapat menunaikan haji dengan status baru iaitu sebagai suami mithali.

Drama Bujang Haji ini dibintangi pelakon berbakat seperti Chiwan Chilok, Din Latah, Jalil Hamid, Aliff Yasraf, Kartina Aziz, Fathil Dani, Rosnah Mat Aris, Hamdan Senario, Norlia Ghani, Sharifah Nur Anthasha, Mazlan Abdullah, Ramah Harun dan penampilan istimewa Nasha Aziz.

Drama Bujang Haji disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang di TV AlHijrah.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *