02/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

[Nota Editor] Syabas Fahmi, KKD dan JK-PUSPAL, tiba masanya kita hantar ‘spy’

2 min read

Pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas.

Read more

Demikian kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung aksi dan kenyataan sangat biadab sebuah band dari United Kingdom yang membuat persembahan dalam satu festival di negara ini pada minggu lalu.

Tindakan tegas dan pantas diambil Fahmi bersama Ketua Setiausahanya, Datuk Fauzi Md Isa bertemu penganjur kurang dalam tempoh 24 jam selepas kejadian memalukan itu berlaku wajar dipuji.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia,” kata Fahmi menerusi media sosialnya.

Ketegasan menteri itu bukan hanya cakap kosong tapi mengarahkan festival tersebut dibatalkan serta merta yang masih mempunyai baki 2 hari persembahan pentas.

Fahmi berkata, beliau menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pengunjung yang sudah membeli tiket.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” tegasnya.

Meskipun tindakan sewajarnya sudah diambil kerajaan bagaimanapun tindakan susulan seperti post-mortem perlu diteliti semula oleh Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

Syarat lebih ketat perlu dilaksanakan selain pembatalan permit persembahan, disenarai hitam, bayaran denda dan pendakwaan di mahkamah. Tiada lagi kompromi terhadap artis luar negara atau penganjur yang berani membuat perbuatan tidak senonoh untuk dipertontonkan kepada masyarakat di negara ini.

JK-PUSPAL dalam satu kenyataan menyatakan pihak penganjur telah memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis tersebut. JK–PUSPAL juga membuat keputusan untuk menyenaraihitamkan The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

Di sebalik apa yang berlaku, sudah tiba masanya KKD menghantar pegawai pemantau atau ‘spy’ ke setiap lokasi persembahan yang mendapat permit persembahan agar tindakan serta merta boleh diambil tanpa perlu tunggu keesokkan hari untuk bertindak.

Insiden band The 1975 perlu dijadikan iktibar agar kesalahan sama tidak berulang pada persembahan lagi. Artis luar negara tidak faham undang-undang di negara ini termasuk tatasusila masyarakat Malaysia bukan alasan sebaliknya penganjur wajib sekolahkan artis yang dibawa untuk bersikap sopan.

Sesebuah persembahan pentas seperti konsert sepatutnya menjadi platform hiburan yang bersih daripada pengaruh tidak bermoral. Nilai perpaduan menerusi konsep Malaysia MADANI harus dipelihara dan disemai sentiasa dalam diri setiap masyarakat di negara ini agar terus menghormati satu sama lain dan bersyukur dengan nikmat dikecapi.

Syabas sekali lagi buat Fahmi, KKD dan JK-PUSPAL.

Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan perunding media dari Kafebuzz Media, penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun, pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.

  • Kafebuzz.my

Foto: Kementerian Komunikasi dan Digital

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *