14/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Dulu Akademi Fantasia, kini Mahendran mahu cipta rekod bersama Pertubuhan Sokongan Kanser

3 min read

Nama Mahendran Suriyanarayanan mungkin agak asing bagi kebanyakan orang.

Namun, jika dirujuk pada sejarah dan perkembangan industri muzik tanah air, namanya tercatat antara individu yang banyak membantu ramai artis tempatan membina kerjaya seni sehingga mengecapi populariti.

Pengalaman selama dua dekad dalam industri muzik memberikan pelbagai kenangan buatnya yang pernah menguruskan artis-artis yang lahir daripada program realiti televisyen popular, Akademi Fantasia.

Pada masa itu, beliau bertanggungjawab dalam menguruskan artis di bawah pengurusan Maestro, yang juga anak syarikat Astro.

Mahendran mencipta rekod berjalan kaki dari utara ke selatan hingga ke Sarawak dan Sabah demi menyampaikan mesej kesedaran awal kanser pada orang ramai. (Foto: Mahendran)

Di sebalik pencapaian terbaik beliau dalam industri muzik, beliau sebenarnya pernah mencipta sejarah buat negara apabila menyahut cabaran berjalan kaki menerusi program Walk for Cancer Malaysia yang diadakan pada tahun 2016.

Mengimbau kembali kenangan tersebut, beliau hanya berjalan kaki semata-mata mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai kesedaran awal terhadap penyakit kanser.

Mahendran (kanan) bersama artis Akademi Fantasia ketika berkunjung ke MediaCorp Singapura. (Foto: Mahendran)

Mahendran berkata, program yang berlangsung selama dua tahun itu bermatlamat berjalan kaki dari utara ke selatan untuk memberi kesedaran mengenai kanser dan secara tidak langsung mengangkat imej negara ke peringkat antarabangsa.

“Sepanjang misi tersebut dilakukan, ramai pihak termasuk masyarakat setempat datang berjumpa untuk memberi sokongan moral dan menyumbang bagi membantu pesakit kanser. Ia suatu pencapaian yang hebat dalam hidup saya untuk membantu masyarakat khususnya golongan pesakit kanser,” katanya kepada Kafebuzz.

Mahendran (kanan) bersama peserta Walk for Cancer Malaysia yang mengambil bahagian di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. (Foto: Mahendran)

Menurutnya, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak mencapai sasaran kemudiannya diserahkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

“Sambutan positif daripada orang ramai yang saya temui sepanjang aktiviti tersebut memberikan saya semangat untuk terus berjalan kaki.

“Hakikatnya, kesedaran mengenai kanser dalam kalangan masyarakat masih kurang dan kebanyakan pesakit kanser hanya sedar mengidap kanser selepas berada di tahap 3 dan 4.

“Jadi suatu usaha membantu masyarakat perlu dilakukan untuk memastikan maklumat mengenai penyakit kanser ini dapat disebarkan seluas mungkin,” katanya.

Mahendran membantu pesakit kanser menerusi sumbangan orang ramai ketika berjalan kaki. (Foto: Mahendran)

Menyingkap kembali pencapaian misi Walk for Cancer Malaysia, Mahendran mengakui cabaran menyelesaikan misi tersebut bukan suatu yang mudah untuk dilaksanakan apatah lagi berdepan risiko cuaca tidak menentu, keletihan dan faktor kesihatan mental serta fizikal.

Jelasnya, beliau sebenarnya memulakan misi berjalan kaki itu lebih awal iaitu pada September 2015 apabila berjalan kaki seorang diri dari utara hingga ke selatan tanah air. Beliau menamatkan perjalanan kaki sejauh 960 kilometer pada 18 September 2016 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Selepas itu, beliau meneruskan misi yang sama bersama dua sahabatnya, Allahyarham Muhammad Azlan Abdullah dan Norzairi Zainal di lokasi Sarawak dan Sabah. Mereka meneruskan misi dari Serian, Sarawak hingga ke Kudat, Sabah sejauh 1,293 kilometer.

“Apa yang menarik pada masa itu, kami juga berkesempatan singgah ke hospital berdekatan untuk bertemu dengan pesakit kanser bagi memberi kata-kata semangat dan sumbangan,” katanya.

Mahendran (tiga dari kiri) turut mencipta rekod berjalan kaki di Sarawak dan Sabah. (Foto: Mahendran)

Bercerita lanjut perancangan seterusnya, Mahendran bersemangat memberitahu beliau masih mahu meneruskan misi tersebut tetapi kali ini bersama badan bukan kerajaan (NGO) sendiri dikenali sebagai Pertubuhan Sokongan Kanser yang mempunyai matlamat sama iaitu memberi kesedaran awal terhadap penyakit kanser kepada orang ramai.

Ujarnya, organisasi tersebut sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 13 Oktober lalu. Idea penubuhan NGO ini juga tercetus bersama dua rakan baiknya, Melvyn Ramayah William Vasudev dan Elrafaei Sapi.

(Dari kiri), Elrafaei, Mahendran dan Melvyn bersama-sama menubuhkan Pertubuhan Sokongan Kanser. (Foto: Elrafaei)

Sebagaimana kejayaan program Walk for Cancer Malaysia, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Sokongan Kanser bersama enam rakannya dalam organisasi ini berhasrat melakukan misi yang sama pada tahun hadapan.

“Ketika ini kami masih mencari pihak yang ingin bekerjasama dan menaja misi penting mencipta rekod negara ini. Kami mengalukan mana-mana pihak yang berminat untuk bersama-sama kami berjalan kaki untuk menyampaikan mesej kesedaran awal mencegah kanser.

“Mungkin ada dalam kalangan keluarga atau saudara kita sendiri mengidap kanser mahupun meninggal dunia akibat kanser. Malah, sesiapa sahaja termasuk kita sendiri mungkin suatu hari boleh menjadi pesakit kanser seterusnya jika tidak mengambil berat aspek kesedaran awal dan menjaga kesihatan,” katanya.

Mahen bersama Dr Soo Wincci ketika majlis mySihatPal Media Launch di Kuala Lumpur, baru-baru ini. (Foto: Elrafaei)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *