07/03/2021

Lebih RM3 bilion setahun dicuri angkara cetak rompak, penggiat industri rayu kerajaan kaji semula undang-undang

3 min read

Penggiat industri kandungan tempatan menyambut baik tindakan terbaharu pihak berwajib dalam memerangi isu cetak rompak digital yang giat berlaku di negara ini.

Rata-rata pihak penggiat industri bersetuju hukuman yang dikenakan ke atas perbuatan cetak rompak digital adalah tidak setimpal. Pesalah-pesalah ini mengakibatkan kerugian ekonomi berterusan jika tidak dibendung, di mana impaknya menjejaskan penggiat industri dan seluruh ekosistem di negara ini.

Kerugian tahunan yang disebabkan kegiatan cetak rompak digital ini dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan. Ia juga melibatkan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan dan mengakibatkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.

Pada 8 Februari lalu, sebuah syarikat teknologi maklumat di Shah Alam menjadi syarikat pertama didakwa di mahkamah kerana melanggar Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual apa-apa teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut di dalam subseksyen 36A(3), akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Pengarah tersebut mengaku bersalah dan sedang menunggu hukuman di mahkamah pada 1 Mac ini.

Pada 16 Februari pula, seorang wanita berumur 46 tahun mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki enam unit kotak TV media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi Internet secara tidak sah. Tertuduh di denda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan dia sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual peralatan perisian penstriman haram (ISD).

Produser dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam berkata, tanpa usaha dan keazaman dari pihak berwajib, kegiatan cetak rompak digital akan terus berlaku.

“Perbuatan mencuri ini bukan perkara baru dan perlu diatasi sebaik mungkin oleh pihak penguatkuasa. Saya kesal melihat retorik yang kosong tanpa membawa sebarang penyelesaian kepada isu sebenar. Tanpa undang-undang yang tegas, cetak rompak akan berterusan dan merebak seperti barah kepada industri kreatif negara dan penggiatnya,” katanya.

Teknologi Internet dan kecanggihan peranti memudahkan sesiapa saja melakukan jenayah siber.

Kaji semula undang-undang, cadangan hukuman lebih berat

Bagi Pengarah Kawal-Selia Astro, Laila Saat, pihaknya mengalu-alukan tindakan yang dikenakan ke atas penjual ISD ini dan berjanji untuk terus bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan penyedia kandungan dalam menyampaikan mesej yang tegas bahawa cetak rompak adalah mencuri secara haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Cetak rompak pada hari ini dilihat seakan menjadi kebiasaan sehingga ramai yang terleka dan terlupa bahawa ia merupakan sebahagian dari perbuatan mencuri,” katanya.

Sekian lama cetak rompak merupakan musuh utama industri yang merompak hasil kerja setiap mereka yang terlibat dalam ekosistem kreatif tersebut seperti pelakon, penulis, produser, pengarah dan jurugambar, yang mana secara langsung menghalang sebarang pembangunan.

Jika cetak rompak dibiarkan berlaku tanpa sebarang tindakan, ia akan membantutkan segala usaha yang dilaksanakan industri hiburan kerana tiada mana-mana pihak yang akan membuat sebarang pelaburan ekonomi terutamanya ke atas kandungan-kandungan yang dikategorikan premium seperti Piala Dunia FIFA, kerana khuatir akan risiko ia dicuri dan dipasarkan secara haram.”

Dalam pada itu, Zahrin Aris yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM) berpandangan penalti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kotak media mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta dilihat agak ringan.

“Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka. Nilai kerugian yang perlu ditanggung oleh kerana cetak rompak ini sudah tentu lebih tinggi dari hukuman denda yang hanya RM30,000,” katanya.

Hukuman ke atas pesalah yang melakukan aktiviti cetak rompak perlu dikaji semula.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pula berpendapat cetak rompak digital yang menggunakan kaedah ISD sudah lama membelenggu industri kreatif tanah air.

“Besar harapan kami agar sabitan hukuman yang dikenakan baru-baru ini bakal memberi sinar baharu kepada industri dan kes tersebut dijadikan penanda aras; seterusnya memberi keadilan kepada pemain industri kreatif tempatan khususnya, yang rata-rata merupakan mangsa kepada perbuatan jenayah ini,” katanya.

Lam Swee Kim selaku Ketua Pegawai Pemasaran Star Media Group berkata hukuman yang dikenakan perlulah setimpal bagi mencerminkan impak buruk yang berlaku kepada penggiat industri. Kegiatan cetak rompak ini melibatkan penjanaan pulangan kewangan dan imbuhan diterima perlu dipantau serta hukuman sewajarnya perlu dikenakan kepada pelaku.

Justeru, penggiat industri merayu kepada pihak kerajaan Malaysia untuk melakukan kajian semula ke atas undang-undang yang sedia ada. Ia tidak memberi perlindungan yang menyeluruh kepada pemilik hakcipta yang merangkumi setiap kerja-kerja kreatif yang diusahakan.

Cetak rompak digital perlu diperangi dengan memastikan hanya kandungan-kandungan yang distrim secara sah. Tindakan tegas perlu diambil ke atas laman sesawang dan platform e-dagang yang menyediakan penstriman haram dan penjualan ISD secara terang-terangan.

Kerjasama juga diperlukan daripada semua pihak terutamanya penyedia kandungan, stesen-stesen penyiaran, pihak pengawal selia, badan-badan berwajib dan pengguna, hingga ke syarikat telekomunikasi, penyedia perkhidmatan Internet dan pemain e-dagang.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *