07/03/2021

FINAS bagi peringatan pada pihak serkap jarang terutama media sosial

2 min read

Peringatan buat individu yang cuba ‘cari pasal’ dengan FINAS.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang bertindak secara serkap jarang dalam membuat sebarang tuduhan, fitnah, kenyataan serta spekulasi yang mengelirukan mengenai FINAS terutamanya di platform media sosial yang boleh menjatuhkan kredibiliti industri kreatif negara.

Perkara tersebut antara keputusan penting yang diambil melalui Mesyuarat Ahli Perbadanan FINAS Bil. 2/2021 yang dipengerusikan Zakaria Abdul Hamid, yang dinyatakan dalam satu kenyataan media bertarikh 18 Februari lalu.

Isu FINAS dengan penggiat seni dan persatuan hiburan bertelagah sebelum ini menarik perhatian khalayak. Ia bermula selepas beberapa persatuan hiburan bersepakat menyuarakan pandangan tidak puas hati mereka berhubung syarat baharu Padu Citra berkuatkuasa 1 Februari lalu.

“FINAS ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan Program Padu Citra 2.0 adalah dalam pemakluman dan sokongan semua Ahli Perbadanan FINAS setelah dibentangkan mengenai perincian pelaksanaan bagi program tersebut dalam mesyuarat pada hari ini. FINAS juga akan mengadakan sesi taklimat dan libat urus bersama semua persatuan industri kreatif bagi menerangkan perincian mengenai program ini sebelum membuka semula keahlian persatuan yang dijangka akan dilaksanakan pada Mac 2021,” katanya.

Susulan perkara itu, satu petisyen meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah memecat Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dalam kenyataan media tersebut, FINAS juga mengingatkan kepada semua penggiat industri kreatif agar mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan aktiviti penggambaran yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 4 Mac 2021 bagi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur manakala pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) untuk Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan serta pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) di Perlis juga dalam tempoh sama.

“FINAS menyambut baik dan menyokong pelaksanaan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian para penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik COVID-19 melalui penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta merangkumi empat kategori pelaksanaan dan 32 program.

“FINAS amat berharap agar semua penggiat industri kreatif dapat mengambil peluang yang disediakan di bawah PRISMA bagi menerima manfaat ke arah kemajuan industri kreatif tempatan,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *