07/03/2021

8 tahun tanpa dana operasi, KARYAWAN terus perjuang isu penggiat seni

3 min read

Ramai yang menderita akibat PKP.

Bukan dijangkiti COVID-19 tetapi kesan pandemik tersebut mengakibatkan ramai yang hilang pekerjaan, dibuang kerja tanpa pampasan sewajarnya, bisnes gulung tikar dan paling menyedihkan terpaksa menganggur dalam tempoh lama sepanjangan PKP yang sudah lebih setahun.

Dalam kalangan penggiat seni, mereka juga tidak terkecuali termasuk persatuan hiburan seperti Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang berdepan situasi getir ketika ini.

Menurut presidennya, Datuk Freddie Fernandez, persatuannya itu berdepan masalah kewangan yang kritikal apabila sudah lapan tahun tiada dana operasi.

“Dalam masa PKP, kita tidak harapkan bantuan dari ahli kerana faham situasi mereka. Sokongan mereka kepada perjuangan kami sudah mencukupi,” katanya menerusi satu status di media sosial peribadinya, baru-baru ini.

Jelasnya, KARYAWAN kali terakhir meraih pendapatan pada tahun 2012 ketika membantu jualan meja untuk program KL Street Jam anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bagaimanapun, pendapatan itu tidak cukup membayar kos pejabat dan kakitangannya.

Harap semua ahli faham keadaan kita. Sekarang masa PKP ‘event’ pun tak boleh jalan. Tenat keadaan kewangan kita. Ahmad (Pengurus Besar KARYAWAN) dan Anuar sudah berapa bulan tak dapat gaji. Tapi masih ‘dedicated’ kepada tugas. Saya tabik dua orang ini.

“Sekarang kena cari duit untuk bayar ‘lawyer’ lawan saman PPM pulak. Apa yang saya mohon ialah beri sokongan kepada perjuangan kami,” katanya.

Menyedari kepayahan hidup dilalui KARYAWAN dalam memperjuangkan isu dan kebajikan penggiat seni, pelakon Ezany Nizariff juga tampil menghulurkan sumbangan peribadi kepada persatuan itu.

Ezany merupakan salah seorang ahli KARYAWAN yang pernah dibantu persatuan itu yang menjadi orang tengah menuntut baki bayaran penggambaran yang sepatutnya menjadi miliknya.

Apa pencapaian KARYAWAN?

Jika dilihat pada trek rekod persatuan ini yang sudah beroperasi sejak tahun 2000, pencapaian mereka memang banyak untuk dihitung antaranya mereka satu-satunya persatuan hiburan yang mewujudkan Skim Pencen pada artis veteran.

Bagaimanapun, pemberian sumbangan sebanyak RM500 kepada 22 artis veteran itu terpaksa dihentikan sejak penghujung tahun 2010 akibat persatuan itu tidak mempunyai dana yang mencukupi. Bagi golongan artis veteran, bantuan sebegini memberi nilai sangat besar pada mereka dalam kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, KARYAWAN juga sering kali tampil dalam membantu golongan seni yang berdepan masalah atau isu seperti pelakon ditipu soal bayaran, ziarah artis yang sakit dan uzur selain membantu golongan orang kurang upaya (OKU) agar terus mengadakan persembahan termasuk menubuhkan Biro Buskers OKU Kelihatan dan melantik tiga indvidu golongan istimewa itu sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) biro tersebut.

KARYAWAN turut memperjuang nasib penggiat seni terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU).

Sekitar tahun 2004, KARYAWAN berkesempatan mengadakan rombongan artis menaiki bas menziarah mangsa tsunami di kawasan Kota Kuala Muda, Kedah.

Begitu juga, setahun yang lalu, KARYAWAN tampil memberi kenyataan menggesa kerajaan membantu penggiat seni yang terjejas sumber pendapatan akibat COVID-19.

Tidak putus mengadakan aktiviti ziarah ke atas penggiat seni veteran atau ditimpa musibah akibat kemalangan dan sakit, KARYAWAN juga sering mengadakan aktiviti amal untuk membantu penggiat seni antaranya Pertandingan Golf Amal Selebriti N9 pada 2016 bertujuan mengutip derma membantu artis veteran yang kurang sihat dan memerlukan bantuan.

Mungkin ada yang terlupa sejak 2006, KARYAWAN bersama DBKL memperkenalkan permit untuk pemuzik jalanan atau lebih dikenali buskers agar terus bermain muzik dan mencari rezeki.

KARYAWAN membantu golongan buskers mendapatkan permit untuk membuat persembahan.

Program KL Street Jam yang dianjurkan DBKL bersama KARYAWAN sejak 2013 antara acara yang sering mendapat sokongan ramai khusus pengunjung yang berpeluang hadir berhibur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Program ini bukan saja menampilkan artis dan kombo budaya DBKL tetapi membuka ruang kepada buskers, pelukis, penari dan peniaga ‘food truck’ untuk berniaga.

Usaha yang tidak pernah putus asa juga memperlihat KARYAWAN terus memperjuangkan isu royalti artis hingga memberi kesedaran pada golongan penggiat seni yang tidak sedar dan tidak tahu hak mereka menuntut royalti.

Pendedahan berani dilakukan KARYAWAN dalam membela nasib penggiat seni sampai kemuncak apabila beliau mendedahkan lebih RM20 juta jumlah royalti yang sepatutnya diagihkan kepada artis.

Susulan tindakan Freddie, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan terhadap empat badan kutipan royalti iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Perfomers Malaysia Berhad (RPM) dan PRISM.

Freddie (tengah) sering membantu golongan penggiat seni menerusi sidang media. (Foto: Loli Stormbringer – Facebook)

Bagi mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada KARYAWAN untuk terus menjalankan aktiviti seni dan menyampaikan bantuan kepada artis, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank (Persatuan Karyawan Malaysia) iaitu no akaun, 3108024130.

Industri hiburan khususnya golongan artis masih memerlukan persatuan hiburan seperti KARYAWAN yang aktif membela nasib penggiat seni, membantu selesaikan bermacam kes yang berlaku dan paling penting, isu royalti tidak pernah terhenti diperjuangkan.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *