28/02/2021

Longhouse Films meterai kerjasama Hairul Azreen dan Adrian Teh sebelum ke Amerika Syarikat dan China

3 min read

Sebuah syarikat pelaburan dan penerbitan filem syarikat terdiri daripada pemain peringkat antarabangsa yang berpengalaman dan bersemangat tinggi tekad untuk memenuhi cogan kata ‘dihasilkan dengan bangga di Malaysia oleh anak Malaysia untuk dunia’.

Ditubuhkan pada 2019, Longhouse Films memperoleh namanya daripada rumah panjang yang berasal dari Sarawak. Ia melambangkan watak berbeza dalam memainkan peranan penting di bawah satu bumbung seperti dalam struktur syarikat Longhouse Films itu sendiri.

Inspirasi nama yang diilhamkan daripada tradisi rumah panjang itu merupakan satu warisan penting negeri Sarawak yang melambangkan identiti pengasas Longhouse Films, Jon Chiew sebagai anak Sarawak. Ia membawa maksud berteduh di bawah satu bumbung tetapi adat bersatu-padu serta menunaikan tanggungjawab masing-masing senantiasa dijunjung tinggi.

Jon memiliki pengalaman luas bekerja dengan studio utama seperti 20th Century Fox, Universal Pictures dan Sony Pictures. Setelah mencipta nama di industri filem China selama 23 tahun, kini tiba masanya dia berkongsi kepakaran dengan industri filem Malaysia dan bersedia memimpin pasukannya membawa Malaysia ke tahap lebih hebat setanding dengan standard antarabangsa.

Watak penting lain untuk Longhouse Films adalah pengarah urusan mereka, Dianne Tan yang merupakan tokoh korporat dan berubah menjadi maestro showbiz dengan memiliki pengalaman pelbagai disiplin. Longhouse Films mungkin kedengaran masih baharu, sebaliknya pada masa yang singkat sejak penubuhannya, ia memiliki pasukan berpengalaman di bawah anak syarikat, MLabs System Bhd yang sibuk dengan barisan projek yang sedang berjalan dan akan datang.

Jalin kerjasama dalam Bakara

Barisan Pengurusan Kanan Longhouse Films: terdiri daripada (dari kiri), Naib Presiden, Jet Chiew, Pengarah Kreatif, Foo Sing Choong, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Jon Chiew, Pengarah Urusan, Dianne Tan dan Pengarah Eksekutif, Steve Tan.

Mengenai pencapaian terbaharu, mereka akan bekerjasama dengan pengarah Adrian Teh, yang terkenal dengan filem blockbuster 2018, Paskal: The Movie, untuk filem aksi terbarunya berjudul Bakara.

Pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) filem BAKARA dihadiri Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Adrian Teh selaku Ketua Pegawai Eksekutif Act 2 Pictures sambil disaksikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Longhouse Films, Jon Chiew dan Dianne Tan.

Penggambaran akan bermula pada Jun tahun ini dan akan menuju ke Amerika Syarikat dan China sebelum siap pada musim panas 2022. Longhouse Films pernah terlibat dalam pelaburan dan pengeluaran beberapa filem seperti Ada Hutan menampilkan sentuhan pertama pelakon Hairul Azreen sebagai pengarah dibintangi Zahiril Adzim serta sitkom ‘Malaysia My ‘Ofis’ bagi mengungguli penerbitan filem yang membawa identiti tempatan ke pasaran antarabangsa.

Kerjasama dengan pelakon tempatan bertujuan membangunkan satu budaya filem yang tinggi di mana negara bukan sahaja perlu memiliki studio canggih tetapi pelakon serta pengarah filem yang mempunyai prinsip dalam berkarya di Malaysia yang mampu menghasilkan filem berjiwa tempatan bertaraf antarabangsa.

Di peringkat global, Longhouse Films juga merupakan pengedar filem ‘Monkey King: A Hero’s Journey to the West’ yang akan dilancarkan pada Mei ini. Ia dihasilkan oleh Jon Chiew, filem animasi ini diarahkan bekas animator Disney, Chris Bradley dengan pereka watak Marvel Studio, Walter A. McDaniel sebagai pengarah seni.

Pembikinan projek lain yang masih dalam perancangan termasuk program idola Korea, ‘Transit Tour’ dan animasi Cina iaitu ‘The Legend of Er Lang’ serta siri romantis ‘Dear Mayang Street’. Longhouse Films akan memainkan peranan penting bagi beberapa projek naskah baharu termasuk salah satu sekuel filem yang paling dinantikan iaitu ‘Hello Mr. Billionaire.

Dalam pada itu, senarai karya yang panjang adalah bukti keupayaan dan kemampuan Longhouse Films memajukan perkembangan industri filem di Malaysia ke pentas antarabangsa.

Setelah memiliki pengalaman bertahun-tahun dalam industri di luar negara, Jon dan Dianne berhubung dengan pemain industri di seluruh dunia terutamanya China yang merupakan pasaran filem terbesar di dunia. Ini memberi mereka kelebihan untuk memperkenalkan kandungan dan bakat Malaysia kepada penonton antarabangsa dalam usaha mempopularkan budaya tempatan di luar negara.

Longhouse Films percaya peningkatan penstriman video bakal menjadi prospek masa depan industri filem tempatan dan dunia gara-gara impak pandemik Covid-19 ketika ini.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *