28/02/2021

Hanya bajet RM1,000 filem pendek Malaysia ini berjaya ditayangkan di Festival Filem Cannes

1 min read

Bagi pembikin filem, masing-masing pasti memasang angan-angan mahu membawa karya mereka ke pasaran luar negara.

Tidak mahu digelar jaguh kampung, karya yang bagus memang sepatutnya dikongsi dengan audiens antarabangsa. Paling tidak, pembikin filem sendiri boleh mendabik dada apabila karya tempatan dipertontonkan kepada khalayak dunia.

Pengalaman menarik itu dikongsi pengarah filem berpengalaman, Rizal Halim yang bercerita pencapaian filem pendeknya berjudul ‘Still Life’ yang pernah ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis.

Dia pada masa itu menggalas tanggungjawab sebagai pengarah fotografi menyatakan filemnya ditayangkan selama 10 hari pada acara tersebut yang berlangsung pada 2014.

“Keseluruhan penggambaran dijalankan selama 2 hari menggunakan kamera Canon 5D Mark II dengan satu saja ‘lens’ saiz 50mm digunakan tanpa penata cahaya dan peralatan kelengkapan audio,” katanya menerusi satu status di media sosial, Facebook, kelmarin.

Rizal pasti berbangga dengan pencapaian filem pendek, ‘Still Life’ berjaya ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis. (Foto: Rizal Halim – Facebook)

Apa yang lebih mengujakan sebenarnya kos atau bajet keseluruhan pembikinan filem pendek tersebut hanya RM1,000.

“Saya tidak sangka hanya bajet sebanyak RM1,000, filem tersebut dipilih dalam acara festival filem paling berprestij di dunia untuk tayangan,” katanya.

Rizal sebelum ini mencipta nama di peringkat antarabangsa menerusi filem genre thriller, ‘Lurking Woods’ yang dihasilkan di Australia.

Dia memberi kata semangat pada pembikin filem lain, jika seseorang itu fokus pada hasil kerjanya, dia mampu mencapai apa saja.

Berita baik buat peminat Rizal, filem pendek tersebut yang dibintangi Uqasha Senrose, Pekin Ibrahim, Rosli Halim dan Sofea Shaheera, boleh ditonton menerusi YouTube.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *