07/03/2021

FINAS cadang sesi ’townhall’ secara maya bersama penggiat industri kreatif bincang penambahbaikan

2 min read

Seluruh Ahli Perbadanan dan pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Pengerusi, Zakaria Abdul Hamid dan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku Ketua Pegawai Eksekutif yang berjaya menerajui FINAS sebagai badan bertangungjawab dalam memajukan industri kreatif Malaysia berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim berkata, sepanjang kepimpinan Zakaria dan Dr. Ahmad Idham, FINAS berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi antaranya pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), penawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC), penawaran Program Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif, penganjuran Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema dan penubuhan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.

“FINAS juga tidak meminggirkan perihal kebajikan warga penggiat industri kreatif tempatan dengan melaksanakan Program FINAS Prihatin, Pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin dan pelaksanaan Insentif Saringan Prihatin yang memberi manfaat terhadap penggiat industri kreatif tempatan dalam mendepani cabaran penularan
pandemik COVID-19.

“Bagi mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif dan meminimumkan impak penularan COVID-19, FINAS melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam aspek kebenaran aktiviti penggambaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 seperti yang diumumkan pada 8 Februari 2021 oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ujarnya, sektor industri kreatif terus diberi perhatian apabila KKMM melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian para penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik COVID-19 yang dijangka memberi manfaat kepada seramai lebih 9,000 penggiat industri kreatif serta berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta.

“Justeru, sekali lagi FINAS menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Tuan Zakaria Abdul Hamid sebagai Pengerusi dan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. FINAS sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan sekiranya wujud perkara-perkara berbangkit dan perlulah disampaikan melalui
saluran yang betul.

“FINAS juga bercadang untuk mengadakan sesi ’townhall’ secara maya bersama penggiat industri kreatif bagi membincangkan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan ke arah merealisasikan agenda kita bersama dalam mengantarabangsakan industri kreatif tempatan dan memenuhi aspirasi warga industri kreatif,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *