07/03/2021

‘Adiwira’ terakhir industri kreatif Malaysia di Cannes

4 min read

Apa yang boleh kita belajar dari Datuk Abdul Rahman Sallehudin melalui pengalaman beliau selama lebih 20 tahun menyertai Festival TV dan Filem Antarabangsa Cannes.

Setiap tahun akan ada usaha dan inisiatif dari kementerian dan para penggiat filem Malaysia untuk memasarkan produk TV dan filem mereka ke pasaran antarabangsa. Tidak kiralah untuk tujuan bertanding, tayangan filem mahupun untuk pemasaran dan mempromosikan karya tempatan ke festival filem antarabangsa, peluang keemasan sebesar ini tidak seharusnya dilepaskan oleh semua penggiat filem Malaysia.

Festival Filem Cannes antara acara penting buat penggiat seni khususnya pembikin filem di seluruh dunia datang berkumpul di Cannes, Perancis bagi mengikuti acara terbesar dunia itu. Tahun ini acara tersebut dijangka akan diadakan pada 6 hingga 17 Julai depan. Acara MIPCOM dan MIPTV pula diadakan sekitar Oktober setiap tahun.

Abdul Rahman bersama salah satu karya ilustrasi di dalam buku seninya. (Foto: Datuk Abdul Rahman)

Jika acara hiburan berprestij ini bakal masuk edisi ke-74 pada tahun ini, persoalannya berapa banyak produk atau karya Malaysia yang berjaya dipromosi, dijual atau artis kita menang anugerah di sana?

Begitu juga, dalam kalangan ramai produser, selebriti dan pegawai kerajaan kita ke sana, siapakah yang boleh kita gelar sebagai ‘adiwira’ iaitu individu yang bijak memanfaatkan peluang di sana dan paling penting membawa sumbangan kepada industri kreatif tanah air.

Festival Filem Cannes turut menganjurkan acara penting iaitu MIPCOM dan MIPTV. (Foto: Datuk Abdul Rahman)

Abdul Rahman selaku produser dan pengarah filem berpengalaman berkata, kebiasaannya lebih 100 buah negara peserta akan mengambil bahagian merangkumi seramai 10,000 delegasi termasuk dalam kalangan pelakon dan produser serta pengarah filem gred A yang mengambil kesempatan hadir di festival ini. Ia memberi peluang kepada semua delegasi bertemu lebih dekat dan berbincang soal pasaran filem sambil bertukar pandangan dari aspek dunia perfileman.

“Ketika acara berlangsung, delegasi akan sibuk dengan pelbagai aktviti yang diatur penganjur seperti ​’Business to Business’ ​(B2B), persidangan atau seminar serta lawatan ke ‘booth’ pameran.

“Pengalaman semasa festival di Cannes, saya akan memenuhi masa untuk berjumpa sambil berbincang dengan mereka yang terbabit dalam pasaran TV dan filem sambil mengikuti seminar di pelbagai lokasi di dewan utama Palais De Festival dan sekitar Cannes.

“Bukan mudah sebenarnya untuk mengadakan sesi temu janji dengan mereka dan selalunya mesti dirancang dari 3 ke 6 bulan sebelum ke Cannes,” katanya kepada Kafebuzz.

Abdul Rahman bertemu personaliti TV yang juga chef terkenal, Golden Ramsay di Cannes. (Foto: Datuk Abdul Rahman)

Menurutnya, Cannes merupakan platform terbaik jika Malaysia mahu dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Korea, China dan India.

“Kita negara kecil dan masih terlalu jauh jika dibandingkan pengalaman penggiat dan karyawan filem dari luar negara seperti Amerika dan Eropah. Banyak lagi yang perlu kita pelajari terutama dalam aspek perniagaan dan pemasaran filem di peringkat antarabangsa,” sambungnya lagi.

Tips buat penggiat seni sebelum ke Cannes

Sesi ​’Business to Business’ ​(B2B) antara tetamu di Cannes menjadi agenda penting dalam memasar produk sendiri dan membeli produk luar negara. (Foto: Datuk Abdul Rahman)

Berkongsi tips buat produser atau pengarah filem tempatan yang ingin ke Cannes, Abdul Rahman memberitahu kebanyakan produser dan pengarah filem yang hadir pada acara seperti pasaran filem perlu tahu dan memahami kehendak pasaran serta ​‘market trend’ terlebih dahulu. Setiap negara mempunyai kehendak dan ‘​market trend’ berbeza dan tersendiri.

“Semasa berurusan sepanjang acara festival memerlukan kita berkomunikasi dengan baik antara produser dari berbagai negara berlainan. Kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik adalah sangat penting terutama semasa sesi perbincangan B2B tetapi jika kita berkebolehan dalam pelbagai bahasa antarabangsa dari negara lain adalah lebih baik.

“Faktor utama yang juga penting dan perlu ada kepada setiap produser dan penggiat filem yang menyertai festival ini adalah pengetahuan pemasaran atau ​‘marketing strategy’ dan ‘business law’ yang berbeza antara negara dan benua. Harga atau ​‘pricing’ pasaran filem juga berbeza antara negara.

“Format filem juga banyak yang berbeza kerana terdapat kepelbagaian​ ‘broadcasting’ platform. Faktor kepercayaan memainkan peranan penting dalam segala urusan perniagaan dan perbincangan terutama sebelum dan semasa pasaran filem berlangsung.

Kepercayaan atau ‘trust’ sangat penting dan selalunya mengambil masa bagi produser dan pengarah yang baru menyertai Festival Filem di Cannes ini. ‘​They want to know how honest and serious you are in this industry before any further decisions can be made’.

“Oleh itu, penyertaan yang berterusan oleh produser dan pengarah filem dalam festival ini amat penting bagi Malaysia jika kita ingin membina keyakinan serta membentuk ​‘business connectivity​‘ yang berterusan dalam kalangan penggiat filem antarabangsa dan pelabur.

“Alhamdulillah sepanjang penyertaan saya di festival Cannes ini banyak pengalaman yang berharga dipelajari terutama yang melibatkan urusan perniagaan dan pemasaran diperingkat antarabangsa. Pertemuan dan perbincangan bersama produser dan pengarah filem luar negara juga membentuk satu jalinan persahabatan diantara kami,” katanya.

Cannes menjadi platform pertemuan ramai produser, selebriti dan pemain industri dari seluruh dunia. (Foto: Datuk Abdul Rahman)

MIPCOM dan MIPTV merupakan acara persidangan tahunan diadakan bagi pemasaran dan mempromosi produk TV dan filem. Penyertaan acara ini memerlukan persiapan, perancangan yang teliti dan bersungguh-sungguh serta memerlukan kos perbelanjakan yang tinggi dan bukan semua penggiat filem kita berpeluang untuk ke sana.

“Sejak lebih 20 tahun pembabitan saya di Cannes, setiap tahun hanya ada antara 10 hingga 15 produser tempatan yang aktif menyertai festival ini manakala 5 daripada agensi kerajaan dan swasta. Kita memerlukan lebih banyak penyertaan dari produser dan pengarah filem tempatan bagi meluaskan lagi pengalaman mereka diperingkat dunia.

“Sebanyak 90 peratus daripada penggiat filem tempatan tidak mempunyai kapasiti atau keupayaan ilmu perniagaan dan kefahaman strategi pemasaran filem di peringkat antarabangsa. Jika ada peluang dan kesempatan saya ingin membantu semua penggiat industri yang mahu mengembangkan perniagaan dan membawa produk filem mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Aktres popular Hollywood, Cathetine Zeta-Jones juga hadir pada acara terbesar di Cannes, Perancis. (Foto: Datuk Abdul Rahman)
Produser dan pengarah filem yang hadir pada acara seperti pasaran filem perlu tahu dan memahami kehendak pasaran serta ​‘market trend’. (Foto: Datuk Abdul Rahman)
Abdul Rahman bersama produser dan penggiat seni dari China. (Foto: Datuk Abdul Rahman)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *