01/03/2021

Cadangan SOP penggambaran, acara langsung dibentang ke MKN Isnin

1 min read

Cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi kebenaran mengadakan aktiviti seni termasuk penggambaran dalam dan luar studio serta acara langsung, akan dibentang pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata SOP itu yang disifatkan lebih ketat berbanding sebelum ini, diharap akan memperoleh kelulusan segera bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang mencari makan menerusi aktiviti seni, kerana kebanyakannya kini berdepan situasi ‘tiada kerja, tiada gaji’.

“Kita faham dalam produksi drama atau filem, 80 peratus ialah kru produksi atau pekerja yang dibayar gaji secara harian. Kerja mereka menjadi terhad jika hanya dibenarkan membuat penggambaran dalam studio, kerana kebanyakan adegan berlaku di luar.

“Selain itu, turut menjadi perhatian KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) ialah acara langsung seperti ‘busking’ yang menjadi rezeki, termasuk kepada orang kurang upaya (OKU). Walaupun ada yang melihat aktiviti ini sebagai halwa telinga dan bukan perkhidmatan perlu, namun ia melibatkan soal mencari makan,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media Program Kembali ke Sekolah 2021 di pusat khidmatnya di sini hari ini, ketika diminta mengulas rayuan penggiat seni untuk dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa sehingga 18 Feb ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *