01/03/2021

MKN belum terima SOP, FDAM terus bertindak

2 min read

Khabar gembira buat penggiat seni agar penggambaran dibenarkan ketika PKP masih belum ada.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam hanya menyebut kedai gunting rambut, pasar malam dan pusat cuci kereta dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 18 Februari depan.

Penggiat seni seperti pelakon, pengarah dan kru produksi berharap sektor penggambaran diberi kebenaran operasi agar mereka kembali bekerja.

Menjawab soalan wartawan berhubung perkara tersebut, Ismail Sabri menjelaskan pihaknya bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih menunggu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap untuk dipertimbangkan.

Tiga hari lalu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid mengeluarkan kenyataan media menyatakan pihaknya telah menghantar Kertas Cadangan SOP Penggambaran Dalam Studio kepada MKN melalui Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan sehingga kini masih tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak MKN. (Baca lagi: Tiada kluster penggambaran, FINAS harap MKN beri kebenaran)

Terkini, sumber menyatakan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dihubungi MKN meminta agar persatuan itu menghantar SOP untuk dibincangkan dan seterusnya dipertimbangkan untuk kelulusan.

“Susulan dari surat FDAM kepada Ketua Pengarah MKN, mereka sedang bincang dan memerlukan SOP daripada kita. Mereka (MKN) kata belum ada mana-mana pihak yang menghantar SOP kepada mereka. FDAM telah ambil tindakan segera menghantar draf SOP,” kata sumber tersebut.

FDAM kelmarin mengadakan sidang media bersama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) meluahkan pandangan berhubung pelbagai isu membabitkan FINAS iaitu Padu Citra, program akreditasi dan menggesa FINAS agar memohon kebenaran daripada MKN untuk sektor penggambaran dijalankan semula.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *