28/02/2021

“Tambah baik bukan menyekat atau menamatkan 3 persatuan ‘hard core’ dalam industri” – Khir Mohd Noor jawab isu Padu Citra

2 min read

Bermula 1 Febuari lalu, Padu Citra tidak lagi mengguna pakai syarat wajib setiap penggiat seni perlu menjadi ahli persatuan hiburan.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) Kapten (K) Khir Mohd Noor melontarkan persoalan apabila pembabitan persatuan dalam Padu Citra ditamatkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Tujuan persatuan dalam Padu Citra ini adalah setiap produksi yang bergerak, kita tahu siapa yang berlakon dan mengarah. Jika tak perlu, suatu hari nanti jangan salahkan industri, produser boleh ambil siapa saja tanpa jadi ahli persatuan. Tambah baik bukan menyekat atau menamatkan 3 persatuan ‘hard core’ dalam industri,” katanya pada sidang media bersama PROFIMA, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) secara dalam talian, semalam.

Menurutnya, langkah FINAS melakukan program akreditasi terhadap penggiat seni suatu yang bagus tetapi perlu perincian dan perbincangan dengan persatuan hiburan.

“Apa kelebihan bila orang kita diakreditasi. Jika diberi tahap, adakah ia mengikut gaji masing-masing.

“Siapa yang melakukan akreditasi? beberapa program terdahulu gagal diteruskan seperti nak buat ‘database’ ada Sinema Malaysia, kenapa tidak disambung, dulu pun ada kerjasama dengan Limkokwing University dan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG). FINAS buat tergesa-gesa tanpa rujuk atau bincang dengan persatuan,” katanya.

Khir (kiri) bersama FDAM, SENIMAN dan PFM mengadakan sidang media secara dalam talian dari pejabat FDAM, Kuala Lumpur, semalam. (Foto: Khir Mohd Noor – Facebook)

Di sebalik isu Padu Citra dan akreditasi FINAS, apa yang lebih mengejutkan adalah Khir mendakwa ada ahli lembaga pengarah badan kerajaan itu yang mengambil Dana Kandungan Digital (DKD).

“Ada bukti 2 ‘board’ juga menggunakan proxy. Nak tahu dimana integriti apabila mereka yang memohon, mereka meluluskan dan mereka yang dapat sedangkan mereka masih ada hutang belum dibayar pada FINAS. Harap lepas bayar, letak jawatan,” katanya.

Khir juga meluahkan rasa kesal terhadap FINAS yang tidak mahu mengadakan perbincangan dengan persatuan hiburan.

“Paling teruk kepimpinan yang ada di FINAS adalah zaman sekarang, sekali pun tak pernah buat walapun secara online. Macam mana nak tahu input atau permasalahan industri.

“Bukan kita duduk minta sedekah tapi cari jalan penyelesaian apa yang boleh persatuan bantu apatah lagi ketika COVD-19. Jika akreditasi, kami nak tahu siapa yang ditugaskan, buat ‘database’ tak lepas, akreditasi pun tiada.

“Kami faham saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tapi ada pelik sikit, penggambaran ‘indoor’ takkan tak boleh sedangkan stesen TV boleh. FINAS kena tengok perkara ini tak boleh buat penggambaran di luar ‘takpe’ tapi penggambaran indoor dibolehkan supaya industri bergerak dan orang bekerja,” katanya.

Sebagai langkah seterusnya, jika tiada jalan penyelesaian Khir berhasrat membawa isu ini kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah dan jika masih gagal, seterusnya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *