28/02/2021

Tiada kluster penggambaran, FINAS harap MKN beri kebenaran

2 min read

FINAS mengambil langkah proaktif memohon pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberikan kelonggaran dan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan dikuatkuasakan PKP demi memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya juga telah menghantar Kertas Cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penggambaran Dalam Studio kepada MKN melalui Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan sehingga kini masih tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak MKN.

“Seperti sedia maklum, industri kreatif Malaysia digerakkan oleh para penggiat industri yang bersifat ‘freelance’. Tentunya, pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Januari 2021 yang lalu memberi impak kepada sumber pendapatan mereka berikutan aktiviti penggambaran yang tidak dibenarkan.

“Lebih-lebih lagi pelanjutan tempoh PKP 2.0 sehingga 18 Februari 2021 ini juga akan memberi kesan yang lebih buruk dan menjejaskan pendapatan mereka serta berupaya melumpuhkan ekonomi industri kreatif tempatan sekiranya aktiviti penggambaran masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tambahnya, FINAS amat berharap agar pihak MKN memberikan pertimbangan sewajarnya dengan sekurang-kurangnya membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan dalam premis tertutup (‘indoor shoot’) dan studio merangkumi drama, telefilem, ‘livestreaming’,
dokumentari dan sitkom tanpa penonton berdasarkan asas-asas pertimbangan.

“Sektor industri kreatif adalah antara sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pelaksanaan PKP 2.0 yang bermula pada 13 Januari 2021 telah menjejaskan pendapatan dan ekonomi penggiat industri kreatif berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

Pematuhan SOP yang ketat oleh penggiat industri kreatif ketika menjalankan aktiviti penggambaran teleh membuktikan semasa tempoh pelaksanaan PKP-Bersyarat tiada kluster COVID-19 yang wujud berpunca daripada aktiviti penggambaran. FINAS sedia bekerjasama dengan MKN melalui pasukan penguatkuasa daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS bagi memantau dan memastikan pematuhan SOP sekiranya aktiviti penggambaran dibenarkan,” katanya.

Ujarnya, FINAS optimis akan kewibawaan kerajaan dan MKN dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan krisis kesihatan yang dihadapi semua. Justeru FINAS amat berharap agar pihak MKN dapat memenuhi permohonan untuk membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *