[Film review] “Saya terlupa keseronokan berbasikal dengan ayah suatu ketika dulu” – Eve
2 min read
Kisah seseorang berbasikal menuju ke satu destinasi mungkin dianggap klise digambarkan di layar perak.
Bagaimanapun, plot tersebut boleh jadi suatu yang menarik untuk ditonton jika penulis skrip dan pengarahnya bijak bermain emosi penonton.
Seorang gadis dikenali Eve yang melalui hidup ‘malang’ dalam kerjaya sebagai penulis novel apatah lagi kehilangan orang tersayang dan diperlekeh kekasih menjadikan dirinya mahu mencapai sesuatu yang diinginkan selama ini.

Baginya, dia percaya orang yang bernasib malang sepertinya boleh mengubah masa depan apabila tiba di Doi Inthanon iaitu gunung tertinggi di Thailand.
Lakon layar dan sinematografi filem ini lebih pada aksi gadis ini mengayuh basikal dalam perjalanan yang jauh dan berbukit suatu yang dianggap mencabar.

Ia mencabar bukan saja pada pengarah filem ini untuk menarik emosi penonton dan mencipta babak menarik tapi bagaimana penonton sendiri bersimpati nasib gadis kurus yang tiada latihan berbasikal secara intensif ini mampu mencapai impian ke puncak gunung.
Bagi mereka yang biasa melakukan aktiviti berbasikal, cabaran untuk perjalanan jauh bukan suatu yang diambil mudah kerana ia memerlukan persediaan rapi dari aspek mental, emosi dan kelengkapan basikal.
Eve ialah seorang yang berani mengambil risiko itu. Dia tidak kisah berapa banyak kali penat di tengah jalan asalkan dia tetap teruskan perjalanan menuju destinasi yang diimpikan.

Ada satu babak apabila dia berputus asa, dia berhasrat menjual semula basikal. Namun, dia berkenalan dengan seorang lelaki, Dam yang sanggup membantu sebagai teman berbasikal.
Kepayahan dan kesungguhan Eve berbasikal dapat dirasai penonton. Ada ketika Eve memberhentikan basikal di tepi jalan sebelum terbaring kepenatan.
Apa pun jua rintangan yang dihadapi, dia tetap bersemangat untuk teruskan perjalanannya. Pembakar semangatnya adalah kenangan bersama arwah bapanya yang memberi semangat pada dia untuk berbasikal.
“Saya terlupa keseronokan berbasikal dengan ayah suatu ketika dulu,” katanya.

Sepanjang perjalanan plot, penonton turut dibuai perasaan dengan permandangan indah dari syot yang dirakam. Babak lalang ditiup angin pun mengasyikkan!

Plot cerita ini ringan untuk difahami. Tiada adegan berpeluk atau memberahikan antara Eve dengan Dam.
Mesej cerita ini jelas iaitu bagaimana kesungguhan seseorang mengatasi segala cabaran yang dilalui untuk berjaya. Sesiapa saja boleh bejaya jika ada keazaman.

Bukan ‘hantu’ atau kepercayaan seseorang terhadap gunung mengubah hidup manusia tapi memori Eve bersama bapanya berbasikal menjadikan emosi penonton juga terusik. Watak Dam juga banyak membantu Eve kerana dia memberi semangat pada gadis itu untuk kayuh basikal. Seperti dijangka, plot cerita ini mencapai ‘happy ending’.
Secara keseluruhan, filem ini cukup ramuannya. Lakonan yang begitu penghayatan, sinematografi dan pengarahan yang bagus mampu memberi emosi sebenar pada penonton. Mungkin selepas menonton filem ini, penonton sendiri rasa minat berbasikal semula.

- Kafebuzz.my