01/03/2021

Lanjutan PKP 2.0: Persatuan hiburan berpakat adakan sidang media

2 min read

Apa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi?

Nampak gayanya nasib ‘malang’ terus menyelebungi penggiat seni tempatan yang masih tidak dapat bekerja sejak PKP kali kedua (PKP 2.0) dikuatkuasa pada 13 Januari lalu.

Ini bermakna, masuk hari ini sudah 21 hari penggiat seni seperti pengarah, pelakon dan kru produksi hanya ‘makan tidur’. Penggambaran tidak dibenarkan meskipun mereka yang terbabit dalam penggambaran sudah melakukan ‘swab test’ COVID-19.

Bagi kalangan penggiat seni, mereka terpaksa akur dengan arahan kerajaan yang dikeluarkan tetapi mereka masih mengharapkan agar sumber ‘periuk nasi’ mereka terus diperjuangkan rakan mereka sendiri di peringkat persatuan hiburan berunding dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sebelum ini, FINAS sudah mengeluarkan kenyataan media berhubung larangan menjalankan penggambaran ketika PKP. (Baca lagi: Penggambaran tidak dibenarkan di seluruh kawasan PKP)

Dalam mencari jalan penyelesaian terbaik, beberapa persatuan hiburan khabarnya sepakat mahu mengadakan perjumpaan bersama FINAS untuk berbincang lanjut masa depan penggiat seni ketika PKP khusus membabitkan Prosedur Operasi Standard (SOP) agar membenarkan penggambaran dijalankan seperti bidang kerja lain.

Menurut sumber, hasrat mereka untuk mengadakan pertemuan antara persatuan hiburan dengan FINAS tidak dilayan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk mengadakan sidang media yang dijangka esok (3 Februari 2021).

Difahamkan, sidang media tersebut akan dihadiri wakil Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Ketika di awal perlaksanaan PKP 2.0 dulu, persatuan hiburan berkenaan menerima pelbagai komen dan rintihan daripada penggiat seni yang hilang sumber pendapatan.

Justeru, mereka sepakat mahu mengadakan pertemuan dengan wakil FINAS untuk berbincang lanjut agar penggiat seni juga dibenarkan untuk bekerja dengan mematuhi segala SOP ketika di lokasi penggambaran.

Ada penggiat seni terus mempersoal mengapa penggambaran tidak dibenarkan sedangkan banyak sektor lain termasuk pasar malam boleh berniaga. Berbanding sebelum PKP, penggambaran seperti drama dan filem masih boleh dijalankan mengikut SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu, penggiat seni juga mempersoal mengapa penggambaran di dalam studio yang dijalankan pihak stesen TV masih boleh dibenarkan dibandingkan produksi luar yang tiada masalah untuk patuh SOP ketika bekerja.

Sejak PKP pada tahun lalu, ramai penggiat seni terpaksa berehat daripada aktiviti seni termasuk ada mula berniaga secara dalam talian (online) dan ada juga penggiat seni terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan atau ‘rider’ untuk kelangsungan hidup.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *