04/03/2021

‘Luahan Hati Penulis Skrip Tua’ boleh jadi proposal terbaharu buat produser dan stesen TV

3 min read

Apalah nasib penulis skrip apabila selalu ‘kena main’ dengan produser.

Sudahlah tidak dibayar 1 sen untuk penat lelah perah otak cari idea menulis untuk sebuah proposal cadangan program baru TV, kesudahannya penulis skrip gigit jari sambil termenung di bucu katil.

Sampai bila produser mahu bersikap tarik tali dengan penulis skrip dalam isu lapuk yang tiada nokhtah. Ada yang beranggapan produser tak salah dalam isu ini kerana mereka orang bisnes yang bergantung pada stesen TV sama ada menerima proposal cadangan program TV yang dihantar.

Bagi penulis skrip pengalaman setahun jagung atau menulis sekadar mengisi masa lapang mungkin tidak terlalu terasa dengan sikap produser seperti ini. Bagaimana pula nasib penulis skrip taraf otai seperti Mazelan Manan yang masih menjadi mangsa sandiwara produser dengan stesen TV.

Dalam kalangan penggiat seni sedia maklum ketika ini ramai penulis skrip dan produser mencuba nasib untuk menghantar proposal mereka ke RTM.

“Setiapkali musim pitching tiba, penulis skrip diminta hasilkan proposal untuk mencuba nasib. Maka bersekang matalah penulis skrip untuk siapkan proposal meskipun ramai di antaranya tidak dibayar apa-apa.

Demi tuntutan hidup, ramailah yang rela dalam terpaksa dengan alasan untuk memujuk diri; sama-sama mencuba nasib. Dan yang paling seronok. Hampir semua produser meminta proposal drama bersiri-siri. Proposal telemovie? Jarang sangat yang mahu,” katanya di media sosial.

RTM kali ini khabarnya bersikap lebih tegas terhadap syarat yang ditetapkan pada setiap proposal yang dihantar.

“MANA-MANA PEMBEKAL PERLU MENGEMUKAKAN 6 BULAN PENYATA BANK TERKINI YANG DISAHKAN OLEH PIHAK BANK (MINUMAN 3% DARI NILAI PEROLEHAN) dan sebenarnya syarat tersebut telah lama ditetapkan, maka ramailah produser yang meminta Proposal Drama Bersiri-Siri itu DITUKAR kepada Proposal Drama 13 Episod DAN KEMUDIANNYA DITUKAR lagi kepada PROPOSAL TELEMOVIE.

“SEDIH! Setelah RTM bertegas, baru ramai produser tahu tentang kewujudan syarat-syarat berkenaan. SEDIH! Betapa ramai produser tidak peka dan tidak ambil cakna dengan perkara tersebut.

“SEDIH! Setelah berminggu bertungkus-lumus siapkan proposal, baru tahu proposal kita tidak layak diterima kerana syarikat pembekal tidak memenuhi syarat pembekalan,” katanya.

Sambungnya, apa yang paling sedih baginya adalah proposal yang tidak diterima kerana pembekal (syarikat produksi) tidak layak selepas mendapati cerita hampir sama dengan cerita yang dipilih.

“Apabila kita persoalkan perkara ini, jawapan yang kita terima; ada pilih kasih, proposal kita tidak bagus dan kita tak pandai pitching. Tetapi hakikatnya tidak begitu.

“ALANGKAH MURNINYA jika dari awal lagi kita berterus terang sama ada kita layak atau tidak dengan syarat yang ditetapkan oleh stesen TV. Bagi penulis yang proposal mereka dihargai (TERIMA KASIH Produser), mungkin tidak begitu terasa. Tapi bagaimana dengan penulis yang proposal mereka hanya dibayar dengan ucapan terima kasih?.

“Walaupun kami yang memulai dengan satu naskah proposal yang terlahir dari jerih dan payah, setelah proposal itu diterima, seringkali bajet dipersalahkan dan lazimnya penulis skrip menjadi mangsa kerana menjaga hati mereka yang lebih popular,” katanya.

Apa yang dikongsi Mazelan dalam coretannya berjudul ‘Luahan Hati Penulis Skrip Tua’ turut dirasai ramai penulis skrip lain yang terpaksa mengharapkan belas ihsan produser dan nasib daripada stesen TV. Mungkin luahannya itu boleh jadi satu lagi proposal terbaharu untuk produser dan stesen TV.

Bayangkan penulis skrip berpengalaman seperti Mazelan yang mempunyai tahap populariti sama seperti pelakon popular yang banyak kali jadi hero drama atau filem sehingga menang pelbagai anugerah tapi masih menempuh kehidupan sebagai anak seni yang sangat perit.

Sampai bila isu seperti ini terus menindas penulis skrip Malaysia meskipun dah masuk tahun 2021. Ia bukan tanggungjawab FINAS mahupun persatuan tapi hanyalah diri sendiri.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *