01/03/2021

Apakah nasib filem tempatan 100 tahun akan datang, di mana arkib filem digital Malaysia?

3 min read

Bagaimana kita boleh memulihara bahan filem hari ini agar boleh ditonton 100 tahun akan datang?

Mungkin tidak ramai ambil peduli meskipun dia seorang produser. Bukan salah produser kerana dia tiada kesedaran malah tak tahu cara terbaik untuk memulihara filemnya daripada musnah dimakan kulat.

Jika usaha memulihara bahan filem mahu dijalankan, bagaimanakah mekanisma terbaik untuk melakukannya?

Cukupkah sekadar menyimpan filem reel di dalam stor yang berhawa dingin atau menjadi mangsa muat turun secara haram di Internet yang kemudian dikongsi di media sosial.

Isu kewujudan arkib filem dalam sesebuah negara bukanlah perkara kecil atau dianggap remeh yang dipertanggungjawab pada pegawai bawahan sahaja. Ia lebih daripada itu. Dalam zaman serba moden, kita bukan saja bercakap arkib filem secara fizikal tapi lebih kepada arkib filem digital.

Di peringkat antarabangsa, pelbagai agensi yang menguruskan arkib filem melakukan proses pendigitalan dan pelbagai kempen kesedaran diadakan untuk membantu pembikin filem memulihara karya mereka.

Misalnya, Asian Film Archive (AFA) di Singapura pernah melakukan proses memulihara 91 filem Melayu klasik terbitan Cathay Keris untuk Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Memory of the World Asia-Pacific Register.

Begitu juga pusat arkib filem pertama di Asia Tenggara iaitu Sinematek Indonesia ditubuhkan pada tahun 1975 pernah menerima dana sebanyak AS$300,000 daripada Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia untuk melakukan proses pendigitalan 29 karya pada tahun 2011.

Kebanyakan bahan filem tempatan tidak disimpan secara digital. (Foto: filem Jodoh Syaitan)

Bagaimana pula dengan nasib filem tempatan kita sendiri? Memang benar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan misi penting ini.

Namun, masih banyak persoalan pasti bermain di fikiran kita. Sejauh mana pihak kerajaan mahupun produser memandang serius aspek memulihara dan melakukan proses restorasi ke dalam arkib filem adalah perkara penting yang perlu difikirkan dengan teliti.

Apakah wujud kerjasama antara kerajaan dengan pemain industri khususnya produser untuk menjalankan aktiviti arkib filem. Di mana pula kempen kesedaran selamatkan filem tempatan bukan hanya untuk tontonan 100 tahun akan datang tapi secara tidak langsung sebagai usaha membanteras isu cetak rompak.

Ramai penggiat seni sendiri tidak tahu apakah Malaysia mempunyai arkib filem lama sama ada masih menyimpan pita filem asal atau dilakukan proses digital?

Difahamkan, FINAS tidak menyimpan karya asal filem. Meskipun Arkib Negara Malaysia ada menyimpan beberapa filem tempatan tetapi apa yang menyedihkan kita sendiri sebenarnya tidak memiliki kepakaran terhadap bidang arkib filem.

FINAS menjadi organisasi yang bertanggungjawab dalam menjalankan proses pemuliharaan dan restorasi filem tempatan. (Foto: Kafebuzz)

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini ada menyatakan usaha membawa filem tempatan ke peringkat antarabangsa menerusi projek Oscar dengan peruntukan dana khas. Fokus ini bukan cakap kosong sebaliknya kerajaan merancang menerusi satu pelan strategik untuk membawa filem Malaysia berpotensi menang anugerah Oscar.

Jika projek Oscar mempunyai pelan khusus sepatutnya arkib filem digital juga diwujudkan sebagai satu pelan jangka panjang yang lebih terperinci?

Tanggungjawab menjalankan arkib filem ini bukan saja terletak pada pegawai kerajaan atau produser tapi ia memerlukan perancangan terperinci membabitkan cendekiawan iaitu ahli akademik yang banyak melakukan kajian berkaitan filem dan arkib filem.

Persoalan juga berapa banyak kajian arkib filem dijalankan pensyarah akademik kita sendiri?

Sementara kita semua kebanyakan penggiat seni duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), fikir sejenak apakah langkah kita seterusnya? duduk diam, buat tak tahu atau bertindak sesuatu.

Artikel ini ditulis Elrafaei Sapi selaku Editor Pengurusan Kafebuzz.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *