07/03/2021

Penggiat industri perlu berdaftar, syarat Padu Citra diperkukuhkan semula

1 min read

Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif masih dibuka pendaftaran sehingga 28 Februari ini.

Penganjur program tersebut, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meminta penggiat industri yang aktif ketika ini perlu mendaftar diri dalam program tersebut.

Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Ahli Perbadanan Finas baru-baru ini menyatakan hanya individu yang memiliki akreditasi daripada FINAS atau mana-mana agensi yang diiktiraf oleh FINAS layak untuk menjadi ahli kepada mana-mana persatuan di bawah program Padu Citra.

Dalam pada itu, FINAS juga memaklumkan akan mengukuhkan semula pelaksanaan program Padu Citra selaras dengan pelaksanaan Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang sedang dijalankan FINAS melalui pengemaskinian keahlian baharu dan penamatan keahlian Padu Citra sedia ada.

“Melalui inisiatif ini, para penerbit tidak perlu lagi memiliki keahlian dalam 3 persatuan iaitu Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) seperti yang dinyatakan dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bermula 1 Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan FINAS yang diedar kepada pihak media baru-baru ini.

Syarat baharu program Padu Citra juga menyatakan keahlian program Padu Citra adalah bagi tempoh 2 tahun dan perlu diperbaharui apabila tamat tempoh.

Persatuan yang ingin menyertai program Padu Citra perlu mengkhususkan kepada satu bidang kerja sahaja bagi memudahkan persatuan merangka aktiviti pengukuhan yang lebih berfokus manakala persatuan juga mestilah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *