18/01/2021

Penggiat seni masih tunggu Program Akreditasi & Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif

2 min read

Program Akreditasi & Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif antara pencapaian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada tahun 2020.

Perkara itu dinyatakan FINAS dalam kenyataan media yang diedarkan kepada pihak media sebelum ini.

Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan berapa ramai penggiat seni yang layak untuk diberi Sijil Kelayakan Akreditasi daripada FINAS.

Dalam syarat permohonan sebelum ini, setiap pemohon yang membuat permohonan menerusi atas talian mesti memilih satu sahaja bidang pengkhususan merujuk bidang utama paling berkelayakan berdasarkan pengalaman, kemahiran, sumbangan, pencapaian dan kelayakan akademik pemohon.

Permohonan bidang pengkhususan di bawah kategori teknikal tertakluk pada syarat dan proses pengakreditasi yang ditetapkan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) manakala pemohon dalam bidang pengkhususan bukan kategori teknikal tertakluk pada syarat dan proses ditetapkan FINAS.

Difahamkan, proses akreditasi ini masih berlangsung dan ada pemohon diminta untuk mengemukan dokuman tambahan seperti sijil berkaitan pengalaman kerja serta mengisi Surat Akuan Pengesahan Pengalaman Bekerja.

Penggiat seni yang mencari makan dalam bidang seni pastinya mengharapkan Sijil Kelayakan Akreditasi ini dapat membantu mereka dalam mengukuhkan portfolio untuk meraih lebih banyak peluang kerja dan paling penting pengalaman seni mereka diiktiraf kerajaan menerusi FINAS.

Malah, mereka juga mengharapkan agar bayaran dan gaji yang setimpal dengan pengalaman mereka dapat dipenuhi majikan dengan adanya Sijil Kelayakan Akreditasi.

Tinjaun Kafebuzz terhadap respons penggiat seni, ramai memberikan sokongan positif terhadap usaha FINAS ini.

Seorang penulis skrip yang berpengalaman lebih 10 tahun memuji usaha FINAS dalam melakukan program tersebut dan berharap ia menjadi langkah baharu mengubah nasib kehidupan penggiat seni selepas ini.

“Nasib penulis skrip di Malaysia sebenarnya sangat menyedihkan. Jarang sekali produser membayar proposal yang disediakan penulis skrip. Mungkin adanya Sijil Kelayakan Akreditasi, produser tidak lagi mempermainkan kredibiliti penulis skrip dalam menghasilkan karya.

“Perlu ingat, setiap idea walaupun ia hanya dalam bentuk proposal tetap perlu dibayar. Penulis skrip juga bekerja dengan penulisan mereka jadi mengapa produser memberi alasan, perlu tunggu projek dipilih ke proses pitching dan seterusnya stesen TV buat bayaran baru penulis skrip dapat bayaran,” katanya dengan nada kecewa.

Setiap tahun lazimnya stesen TV akan membuka peluang pada syarikat produksi untuk menghantar proposal pelbagai genre program. Produser kemudian meminta penulis skrip untuk menghantar proposal mereka tetapi soal bayaran hanya mengharapkan belas ehsan dan budi bicara produser.

Apa yang menyedihkan isu lapuk yang tiada kesudahan ini masih tiada jalan penyelesaian atau mencapai persetujuan antara produser dan penulis skrip.

Jadi, penggiat seni mengharapkan agar Sijil Kelayakan Akreditasi ini menjadi jalan penyelesaian baharu membela nasib mereka selepas ini.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *