18/01/2021

“Kalau nak tengok lakonan Saiful Apek dan Syanie dalam sisi lain kena tengok filem ini” – Mawi

2 min read

Pemilihan Saiful Apek dan Syanie sebagai pelakon utama filem baharunya sudah tentu memberi risiko besar.

Ia mungkin dianggap pertaruhan berani mati Mawi sebagai produser dan pengarah untuk menarik perhatian penonton menyaksikan lakonan kedua pelakon komedi otai tersebut.

Sebagai pembikin filem yang pernah melalui pengalaman dalam filem pertama, Tiada Tajuk, Mawi juga percaya ramai peminat Apek dan Syanie merindui kemunculan mereka di layar perak. (Baca lagi: Mawi lamar 2 pelakon komedi otai, dedah judul filem terbaharu).

Persoalan penonton, apakah komedi Apek yang terkenal dengan gaya gitu-gitu manakala Syanie yang sudah lama tidak berlakon masih mempunyai aura untuk berlakon komedi atau aksi kedua pelakon ini masih relevan pada penonton zaman sekarang?

Menjawab persoalan itu, Mawi menjelaskan Apek dan Syanie akan membawa karakter berbeza yang belum pernah ditonton khalayak sebelum ini.

“Watak Apek dan Syanie dalam filem kali ini betul-betul kontra sebab mereka membawakan watak orang alim manakala Along Cham dengan Zarina Anjouline tampil dengan watak ‘scammer’ iaitu penipu besar. Kedua pasangan ini mempunyai cara hidup berbeza,” katanya kepada Kafebuzz.

Mawi bersama pelakon filem Hantu Kuat Ketawa ketika sesi baca skrip di Putrajaya, baru-baru ini. (Foto: Mawi)

Ujarnya, filem keduanya berjudul Hantu Kuat Ketawa memberi cabaran pada Apek dan Syanie untuk membawa watak dan karakter berbeza daripada lakonan mereka sebelum ini.

“Kalau nak tengok lakonan Apek dan Syanie dalam sisi lain kena tengok filem ini. Jika nak tahu cabaran sebenar pula kena tanya pelakon itu sendiri bagaimana mereka membawa watak ini nanti,” katanya.

Bagi melancarkan perjalanan penggambaran yang dijangka bermula tidak lama lagi, Mawi turut melakukan proses ‘script reading’ baru-baru ini melibatkan semua pelakon utama.

“Sesi baca skrip, semua nampak cantik sebab saya nak tengok ‘chemistry’ antara pelakon sebelum masuk set penggambaran.

“Cabaran saya sendiri memang mencabar sebenarnya kerana saya nak ‘design’ watak-watak. Benda ini hanya ada dalam bayangan jadi nak visual adalah mencabar,” katanya.

Saiful Apek dan Syanie digandingkan sebagai pelakon utama dalam filem terbaharu arahan Mawi. (Foto: Mawi)

Dalam pada itu, rakan sekerja Mawi di Zayan iaitu Anas Tahir juga diberi tanggungjawab besar berlakon dalam filem ini.

“Watak Anas paling mencabar sebab dia buta dan macam ada ‘mental problem’ sikit dan misteri. Rasanya Anas boleh bawa watak ini dengan baik nanti,” katanya.

Barisan pelakon yang hadir pada sesi baca skrip di Putrajaya, baru-baru ini.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *