18/01/2021

Pendakwah selebriti vs artis mi segera: Siapa lebih hebat?

2 min read

Kecoh bila pendakwah selebriti buat onar.

Siapa yang patut dipersalahkan bila kes seperti rogol dan cabul yang didakwa mangsa terhadap pendakwah selebriti berlaku. Apakah pendakwah selebriti itu mempunyai modus operandi yang bijak atau pesona yang memukau hingga mudah memerangkap mangsa.

Impak kes sebegini turut terpalit pada golongan selebriti khusus pendakwah selebriti lain yang mencari makan menerusi cara berdakwah. Jika disenaraikan berapa ramai pendakwah selebriti, memang agak ramai.

Pendakwah selebriti dipercayai mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat sebab mereka boleh bercakap soal agama dan sebagai kelebihan, mereka juga popular kerana mendapat publisiti media mahupun dikenali ramai menerusi media sosial.

Kontroversi pendakwah selebriti sebenarnya mengingatkan kita terhadap isu yang pernah melanda golongan yang meraih populariti dengan pantas menerusi program realiti TV dan mereka ini juga digelar artis mi segera.

Suatu ketika dulu di awal tahun 2000, program realiti berkonsep pertandingan nyanyian menjadi kegilaan ramai penonton. Ketika program realiti berlangsung, penonton sanggup menghabiskan duit hingga beribu ringgit semata-mata mahu mengundi artis kegemaran mereka terus terselamat daripada tersingkir.

Apa yang menjadi isu pada artis program realiti ketika itu, mereka popular sebelum berakhir program realiti berkenaan. Lebih membuatkan selebriti lain gigit jari bila ada dalam kalangan artis mi segera ini sudah menjadi jutawan sebelum keluar menjadi artis!

Perkara tersebut pernah diakui salah seorang juara program realiti TV yang menyatakan bayaran kontrak sebagai artis yang diterimanya sebanyak RM2 juta untuk tempoh 2 tahun. Itu belum dicampur dengan bayaran yang diterima menerusi duta produk, ada mencecah hingga setengah juta untuk satu projek.

Cerita siapa artis mi segera jadi jutawan segera itu bab lain. Apa yang kita perlu fikirkan sekarang ini adalah bagaimana isu pendakwah selebriti buat onar ini tidak lagi berulang.

Memang benar pendakwah selebriti juga manusia biasa yang ada nafsu turun naik dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Ada netizen di media sosial memberi cadangan agar program berkonsep dakwah yang mengangkat peserta sebagai pendakwah selebriti dikaji semula termasuk dihentikan program sedemikian buat sementara waktu.

Apapun, banyak faktor yang menjadi punca atau galakan terhadap sesuatu perbuatan negatif yang memberi kesan secara tidak langsung kepada masyarakat. Isu pendakwah selebriti buat onar jangan dipandang sebelah mata.

Perbincangan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dalam menangani isu ini dengan cara bijak. Kesedaran melakukan perbuatan yang jahil perlu diingatkan. Selebriti tidak boleh selalu ‘dipuja’ dan mereka juga tidak semua harus dipersalahkan. Jangan lupa dalam dunia serba canggih, sesiapa saja boleh ‘drama’ menjadi mangsa.

Di sini juga, persatuan hiburan sepatutnya mengambil tindakan dengan menyatakan pandangan mereka menerusi kenyataan media atau paling tidak komen di media sosial. Ini penting dalam menunjukkan pendirian dan ‘kewujudan’ persatuan hiburan sendiri yang peka pada isu artis yang berlaku sekeliling mereka.

Bukan isu siapa lebih hebat antara pendakwah selebriti dengan artis mi segera tapi persoalan juga timbul apa yang boleh persatuan hiburan buat dalam menangani isu pendakwah selebriti onar ini? bertindak sesuatu atau cukup sekadar duduk depan TV tengok berita. Sendiri mau ingat!

  • Kafebuzz.my
  • Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi yang merupakan Editor Pengurusan Kafebuzz juga pensyarah filem dan penganalisis hiburan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *