18/01/2021

Farahdhiya hanya sekali sepanjang 16 tahun merasa duit royalti

1 min read

Selama 16 tahun hanya dapat sekali.

Selebriti jelita, Farahdhiya berkongsi pengalaman mengenai bayaran royalti yang diterimanya sepanjang menjadi penyanyi dalam tempoh tersebut.

“Sejujurnya saya yang baru 16 tahun dalam industri hiburan ini baru sekali saja dapat merasa duit royalti sebagai penyanyi. Yes sekali saja dalam 16 tahun.

“Sila kembalikan hak-hak kami semua kepada yang berkenaan,” katanya dalam satu status di Instagramnya, hari ini.

Jelasnya, dia sendiri pernah bertanya pada pihak berkaitan berhubung bayaran royalti tetapi tiada jawapan. Justeru, dia juga mengharapkan ada jalan penyelesaian buat penggiat seni sepertinya.

Isu royalti yang memberi masalah pada penggiat muzik sejak berzaman mula mendapat perhatian pihak berkuasa selepas perkara itu dibangkitkan semula oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez.

Dalam beberapa statusnya di media sosial, beliau mendedahkan kira-kira RM25 juta duit royalti yang belum diagihkan kepada penggiat muzik menerusi Recording Performers Malaysia (RPM).

Tindakan Freddie itu bukan saja membela nasib penggiat muzik yang ditindas tetapi turut mewujudkan petisen agar presiden RPM, Datuk Sheila Majid meletakkan jawatan.

Susulan pendedahan dan dakwaan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Empat organisasi yang dipertanggungjawab dalam mengutip dan mengagihkan royalti iaitu RPM, Public Performance Malaysia (PPM), PRISM dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) diserbu SPRM, seperti dilaporkan Harian Metro.

– Kafebuzz.my

(Foto: @farahdhiya_fd – Instagram)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *