04/12/2020

Kafebuzz

Portal Hiburan Komprehensif

“Gambar kita dulu masih ada di dinding…” – Warga Kosmo! berduka kehilangan seorang hero

3 min read

Hujan lebat membasahi Lembah Klang petang tadi.

Selalu kita mendengar apabila hujan lebat, ia seolah menunjukkan petanda alam sedang berduka. Awal pagi tadi kira-kira jam 7.23 pagi, industri media tanah air dikejutkan dengan berita perginya seorang hero dalam bidang kewartawanan, Datuk Baharom Mahusin.

Allahyarham yang juga bekas Pengarang Kosmo! pergi buat selamanya selepas meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.

Arwah yang berusia 54 tahun dilaporkan mengalami pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah. Bagi keluarga dan rakan media, sudah tentu pemergian arwah begitu dirasai khususnya bekas kakitangan akhbar tabloid Kosmo!.

Baharom (berdiri, 11 dari kiri) bersama warga dan alumni Kosmo! ketika majlis ulangtahun akhbar tersebut, dua tahun lalu.

Pada tahun 2004 sebelum Kosmo! dilancarkan secara rasmi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ketika itu) pada 30 Ogos, arwah merupakan individu penting di sebalik perancangan dan percaturan akhbar sulung saiz kompak terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad itu.

Penulis juga antara anak didik arwah yang dipilih menyertai pasukan akhbar Kosmo! sebagai kumpulan wartawan pertama yang diberi kepercayaan untuk bersama mencipta sejarah akhbar tempatan pada masa itu.

Lebih manis, kenangan bersama arwah bermula ketika beliau antara 3 panel penemu duga yang memberi peluang pada penulis untuk menimba pengalaman baru sebagai wartawan. Bangga bukan kepalang buat penulis yang baru menghabiskan pengajian Sarjana Pengurusan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyahut cabaran berkhidmat di syarikat keramat orang Melayu itu.

Baharom (tiga dari kiri) bersama kakitangan Kosmo! melayani penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berkunjung ke pejabat Kosmo!.

Pengalaman awal dibimbing arwah untuk bekerja sebagai wartawan memang cukup menyeronokkan. Arwah mempunyai karakter yang suka bergurau dengan rakan sekerja tapi serius dalam memberi arahan pada wartawan. Apa yang mencabar buat wartawan Kosmo! sebenarnya apabila tidak kira masa, arwah memberikan idea bernas untuk mendapatkan sesuatu berita.

Cabaran wartawan Kosmo! yang datang dari pelbagai latar belakang berbeza dilatih arwah untuk menjadi wartawan yang berani dan kreatif dalam penulisan berita. Banyak kenangan bersama arwah dengan kakitangan Kosmo! yang sentiasa dirindui.

Pernah suatu hari kira-kira 10 tahun selepas penulis meninggalkan bangunan asal Kosmo! di Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur; penulis yang berkunjung ke bangunan baharu disambut arwah yang kemudian memberitahu: “Gambar kita dulu masih ada di dinding”.

Memang benar, gambar arwah bersama seluruh warga kerja Kosmo! yang terbabit dalam sesi ‘brainstorming’ di Genting Highlands sebelum akhbar tersebut beroperasi tergantung di dinding ruang editorial itu.

Gambar kenangan warga Kosmo! bersama Baharom ketika sesi ‘brainstorming’ di Genting Highlands pada tahun 2004.

Penulis sangat terharu sebab arwah membawa penulis berjalan semata-mata mahu menunjukkan semula gambar kami bersama. Biarpun hanya 4 tahun penulis menjadi rakan sekerja arwah, jasa beliau pada penulis sudah tentu tidak dilupakan.

Gurau senda ketika bekerja dengan arwah seperti sebuah keluarga. Arwah pernah bertanya pada hari penulis memberikan surat peletakkan jawatan, mengapa penulis mahu meninggalkan rakan-rakan di Kosmo!.

Penulis berterus terang, penulis yang mula berkhidmat di meja berita sebelum dipindahkan ke meja hiburan menjelaskan mahu menimba pengalaman baru di tempat lain iaitu bersama akhbar Harian Metro.

Dalam satu acara anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada tahun 2014, arwah yang cukup mesra ketika bersembang sempat memuji penulis sebagai bekas wartawan Kosmo! yang hebat di hadapan rakan-rakan tetamu lain.

Penulis bersama Baharom dalam satu majlis sidang media anjuran MPI.

Itu semua tinggal kenangan. Kehadiran arwah dalam pasukan Kosmo! pastinya menjadi sejarah untuk dikenang sampai bila-bila. Biarpun ramai wartawan mahupun rakan di bahagian grafik sudah lama berhijrah atau mengambil haluan kerjaya masing-masing, gurau senda dan senyuman arwah sentiasa terbayang dalam ingatan kami semua.

Moga arwah tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Alfatihah.

  • Kafebuzz.my
  • Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi (bekas wartawan kumpulan pertama Kosmo!)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.