25/11/2020

Kafebuzz

Portal Hiburan Komprehensif

Awas! penerima dana FINAS 2015 – 2019 bakal dikenakan tindakan undang-undang

2 min read

Duit dapat tapi filem tiada.

Isu yang dianggap lapuk berlaku di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak sekian lama kini mungkin mencapai garis penamat.

Perkembangan terbaru, keputusan Mesyuarat Ahli Perbadanan FINAS yang dipengerusi Zakaria Abdul Hamid menyatakan peguam agensi kerajaan itu akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang gagal menyiapkan projek penerbitan selepas mendapat dana kerajaan.

“Mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan senarai syarikat-syarikat yang gagal menyiapkan produk penerbitan berdasarkan kepada perjanjian yang telah dimeterai di antara tahun 2015 hingga 2019 kepada panel peguam FINAS untuk membuat penilaian mengenai prosedur tindakan yang wajar diambil berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi memastikan isu sama tidak berulang, FINAS akan menyiarkan senarai penerima dana FINAS yang melibatkan kerja-kerja penerbitan bagi tahun 2020 di laman sesawang mereka.

Isu syarikat produksi yang didakwa menyeleweng dana FINAS bagi tujuan penerbitan menjadi isu tergantung yang tidak didedahkan kepada khalayak sebelum ini.

Dua tahun lalu, isu ketirisan dana pernah didedahkan Astro Gempak dalam satu laporan eksklusif. (Baca lagi: [Eksklusif] Dana FINAS Tidak Diberikan Secara Telus Pada Penggiat Seni, Produser Jumpa Pegawai Atasan Kerajaan Di Hotel)

Pendedahan tersebut turut mengundang siasatan lanjut daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sama ada isu ketirisan dana mahupun penyelewengan dana FINAS, ia sepatutnya tidak lagi berlaku memandangkan ia melibatkan duit kerajaan dan ramai penggiat seni khususnya pembikin filem lain yang bersungguh mahu menerbitkan karya terbaharu tidak berpeluang mendapat peruntukan dana tersebut.

Sebelum ini ada dakwaan penggiat seni terhadap individu berselindung di sebalik syarikat produksi ini yang menyalah guna dana untuk tujuan peribadi seperti membeli kereta baru dan barang kemewahan lain.

Jika benar FINAS akan mengambil tindakan wajar mengikut undang-undang terhadap pihak produksi, penggiat seni juga berharap agar nama syarikat berkenaan didedahkan kepada umum sebagai pengajaran dan amaran pada syarikat produksi lain tidak mengikut jejak langkah sama.

Buat masa ini, kita tunggu dan lihat.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.