25/11/2020

Kafebuzz

Portal Hiburan Komprehensif

“Pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP bagi mereka yang hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas” – Muhyiddin Yassin

3 min read

Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentiasa dilindungi.

Itu antara kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam komen beliau terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

Ujarnya, Belanjawan Tahun 2021 yang bernilai RM322.5 bilion adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang didokong teguh oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

“Walaupun Negara berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali. Ini merupakan tekad Kerajaan dalam memastikan wabak COVID-19 ditangani dengan berkesan, bagi menjamin matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi.

“Belanjawan ini juga mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat dan perniagaan, hasil maklum balas daripada 6,000 respons yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus,” katanya dalam status di akaun Facebooknya, semalam.

Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, semalam. (Foto: Muhyiddin Yassin – Facebook)

Menurutnya, Kerajaan telah menggubal sebuah Belanjawan yang berprinsip melindungi (protect) rakyat dan perniagaan membantu mereka untuk melonjak kembali (rebound), serta menjamin (secure) masa depan mereka yang lebih berdaya tahan dan lestari.

“Kerajaan sedar bahawa yang paling membimbangkan rakyat adalah kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing.

“Sehubungan itu, Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentiasa dilindungi. Ini jelas dilihat melalui peruntukan yang tertinggi untuk Rakyat dalam Belanjawan 2021 ini berbanding belanjawan Negara yang pernah dibentangkan sebelum ini.

“Pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini, tetapi juga bagi membantu rakyat membina sebuah masa depan yang lebih kukuh,” katanya.

Jelasnya, Belanjawan 2021 ini juga akan meneruskan momentum yang dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu berjumlah RM305 bilion iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

“Kesejahteraan Rakyat Melalui Belanjawan 2021, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion disediakan oleh Kerajaan terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

“Selain itu, Kerajaan juga komited bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat. Daripada jumlah ini, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion,” katanya.

Pengumuman pengeluaran wang KWSP dari akaun 1 pastinya memberi berita gembira pada golongan yang terkesan akibat COVID-19.

Muhyiddin berkata, kerajaan terus mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki.

“Justeru, Kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula. Sehubungan itu, Kerajaan juga mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara (National Jobs Council).

“Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat.

“Belanjawan 2021 ini mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan bahawa mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada Kerajaan. Golongan ini merentas kaum dan ideologi, tidak kira di pelosok negeri mana mereka berada,” katanya.

Sambungnya, pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP bagi mereka yang hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

“Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti.

“Selain itu, Kerajaan juga akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus yang bukan sahaja memberi sokongan pembiayaan tetapi juga menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya. Saya yakin Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur- pelabur asing dan domestik.

“Ketahanan Ekonomi Usaha memastikan ketahanan ekonomi Negara juga adalah antara fokus utama Kerajaan dalam Belanjawan kali ini. Kerajaan komited dalam melaksanakan belanjawan pengembangan, sementara terus mengekalkan disiplin fiskal,” katanya.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 menjadi penunjuk arah dasar kerajaan tapi sejauh mana masyarakat memahami agenda yang ingin dicapai negara.

Sambungnya, pemantapan penyampaian perkhidmatan awam juga turut diberikan penekanan. Prinsip melindungi (protect), melonjak kembali (rebound), serta menjamin (secure) juga adalah bertujuan untuk terus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Wawasan ini akan menjadi penunjuk arah dasar-dasar kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi, dengan segala hasil kemakmuran Negara dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik dan wilayah.

“Belanjawan 2021 adalah sebahagian daripada janji Kerajaan untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar bagi seluruh rakyat Malaysia, serta untuk memastikan setiap rakyat terus maju dan makmur bersama. Kerajaan menyeru agar rakyat Malaysia berganding bahu dan menjunjung semangat solidariti dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.