TV AlHijrah lancar kempen memperingati Rasulullah S.A.W
2 min read
Tarikh 29 Oktober ini bersama 12 Rabiulawal 1442H menjadi hari istimewa buat umat Islam.
Ia mengingatkan seluruh umat Islam di dunia terhadap hari lahir Nabi Muhammad S.A.W. Namun, dalam kehidupan serba moden kini, bagaimana pula umat Islam dapat menghayati dan meraikan hari bersejarah ini.
Stesen TV AlHijrah terus menjadi perintis sambutan Maulidur Rasul di TV.
Apa yang menarik perhatian penonton, stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini melancarkan kempen memperingati Baginda SAW bermula 23 Oktober lalu hingga 6 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata, sambutan Maulidur Rasul ini bertujuan untuk mengingatkan penonton TV AlHijrah tentang nilai murni dan pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda.
“Ummah Rabbani Negara Harmoni adalah tema pilihan bagi sambutan Maulidur Rasul di kaca televisyen kami. Tema ini jelas membawa maksud mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi pencetus idea dalam konteks dakwah, dan ia juga merupakan silibus dalam pentadbiran dan garis panduan kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, TV AlHijrah menyajikan barisan rancangan istimewa sepanjang Rabiulawal 1442H ini.
“Antara yang wajib ditonton adalah rancangan E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat, rancangan Sentuhan Kalbu Bersama Habib Ali, rancangan MY #QuranTime Istimewa, Dokumentari MY #QuranTime Istimewa, Filem Istimewa Latitude 6, rancangan Kasih Kenyalang dan program siaran langsung Hijrah Berselawat,” katanya.

Namanzee turut menyatakan kesemua program ini memberi terjemahan yang sangat jelas kepada penonton bahawa agama Islam yang disampaikan Rasulullah adalah Addin atau cara hidup yang menyuluh kegelapan manusia dengan mentauhidkan diri kepada Allah.
“Apa yang penting, kami mahu semaikan semangat dan fahaman yang meletakkan Rasulullah sebagai idola teratas dan terulung. Kehidupan Rasulullah sama ada dari segi sosial, ekonomi dan kekeluargaan dijadikan panduan sepanjang zaman,” katanya.

Selain program istimewa tersebut, TV AlHijrah juga melancarkan pertandingan Resepi Juadah Anda bagi memenuhi masa lapang penonton yang bekerja di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
Pertandingan ini memberi peluang kepada penonton untuk menghantar video masakan dan hidangan istimewa mereka untuk diadili juri dalaman TV AlHijrah.
Sebanyak 13 video masakan terbaik, menarik dan kreatif akan disiarkan di dalam program Assalamualaikum dan berpeluang memenangi sejumlah wang tunai.


- Kafebuzz.my