25/11/2020

Kafebuzz

Portal Hiburan Komprehensif

KKMM, UKM kenal pasti isu hak cipta, kebajikan industri kreatif

2 min read

PUTRAJAYA, 22 Okt – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melaksanakan penyelidikan mengenai isu hak cipta ekonomi kreatif dan kebajikan penggiat industri kreatif.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata penyelidikan itu bertujuan mengenal pasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah industri kreatif negara dengan menggunakan infrastruktur dan kemudahan sedia ada terutamanya melalui Majlis Pembangunan Industri Kreatif Negara (MPIKN).

“Ada dalam kalangan penggiat seni sebagai contoh penyanyi dan pemuzik, apabila menandatangani sesuatu kontrak, malangnya dia tidak begitu memahami apa yang ditandatangani dan kemudiannya dia berhadapan dengan masalah hak cipta,” katanya pada majlis menandatangani Surat Hasrat bagi kerjasama penyelidikan itu yang dijalankan di lokasi berbeza secara persidangan video, hari ini.

Status terkini yang dimuat naik Saifuddin menerusi akaun Twitter miliknya.

Surat Hasrat bagi projek penyelidikan bertajuk “Mengenal pasti Isu-Isu Hak Cipta Ekonomi Kreatif dan Kebajikan Penggiat Industri Kreatif” itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad dan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Saifuddin berkata MPIKN yang dipengerusikanya secara bersama dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri telah bermesyuarat buat kali pertama pada minggu lepas dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai platform yang dapat benar-benar membangunkan industri kreatif negara.

“Semua yang terlibat (pemegang taruh) dibawa berunding dan kita hendak bermesyuarat secara berkala. Melalui majlis ini, kita tidak mahu sesuatu isu itu dibiarkan begitu lama tidak ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin turut melancarkan Panel Khidmat Nasihat Bagi Industri Kreatif yang dianggotai pegawai-pegawai KKMM dan KITA serta peguam dan penggiat industri kreatif yang berpengalaman untuk memberi nasihat, latihan dan seminar.

“Panel ini juga akan menyediakan soalan-soalan lazim (FAQ) dan program-program untuk meningkatkan kesedaran penggiat seni dalam isu hak cipta, kontrak, royalti, kebajikan serta dana-dana yang wajar dipohon untuk projek-projek mereka,” katanya.

KKMM bekerjasama dengan UKM bagi melaksanakan penyelidikan mengenai isu hak cipta ekonomi kreatif dan kebajikan penggiat industri kreatif. (Gambar: Bernama)

Saifuddin berkata walaupun panel itu akan mula beroperasi pada awal tahun depan, namun e-mel utama panel berkenaan telah diaktifkan iaitu nasihatkreatif@kkmm.gov.my agar penggiat seni dapat mula menyuarakan isu-isu mereka.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau akan turut bertemu dengan kumpulan penyanyi nasyid negara bagi mewujudkan anugerah nasyid peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui kerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Diam tak diam rupa-rupanya penggiat nasyid di seluruh dunia menganggap Malaysia sebagai ‘the home of contemporary nasyid’, tetapi kita tak pernah benar-benar meraikan dan melaksanakannya,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.