04/12/2020

Kafebuzz

Portal Hiburan Komprehensif

[Film review] Apakah Adra berjaya bunuh diri?

3 min read

Pertemuan dua individu tidak dikenali di suatu kawasan asing pastinya membawa cerita berbeza yang boleh jadi menarik atau sebaliknya.

Kisah gadis anak orang kaya dikenali Adra merantau ke luar negara untuk mencari ketenangan dalam hidup dipertemukan dengan jejaka ‘muka tak siap’, Andre yang bekerja di sebuah kafe.

Sebagaimana boleh dijangka penonton, kedua watak utama pasti akan bertemu semula selepas mereka berkenalan secara tidak sengaja di tepi jalan. Adra tinggal sendirian di sebuah rumah seolah menunjukkan minat terhadap Andre.

Pertemuan pertama kali dua watak utama iaitu Andre dan Adra.

Karakter lelaki itu digambarkan mempunyai ego yang tinggi dan bercakap kasar dengan memanggil ‘hoi’ berulang kali memberi gambaran dia juga berdepan masalah diri yang sukar diubah.

Hubungan antara dua watak ini mula menjadi rapat apabila Andre sanggup menemani Adra melancong di kawasan sekitar.

Dari awal, penonton sudah tahu Adra mempunyai masalah kesihatan dalam babak dia berjumpa doktor. Apa yang penonton tahu, Adra melalui kehidupan sunyi, tidak dipedulikan bapanya yang berhasrat berkahwin baru dengan pekerjanya yang pandai buat air.

Andre digambarkan sebagai lelaki ego tinggi manakala Adra mengidap penyakit bipolar.

Dalam satu babak menunjukkan syot pisau dalam pinggan buah di atas meja, penonton boleh menjangka Adra akan cuba membunuh diri.

Begitu juga dalam satu babak ketika mereka bersiar di suatu kawasan pergunungan, Adra bertanya pada Andre jika ada orang membunuh diri di situ (penonton juga boleh jangka babak seterusnya akan berlaku di situ!).

Dua pendukung watak utama ini iaitu Fasha Sandha dan Beto Kusyairy memang cukup berpengalaman dalam bidang lakonan dan tiada masalah menjiwai setiap tanggungjawab yang diberikan pada mereka.

Namun, sepanjang sejam 18 minit 29 saat filem ini ditayangkan menerusi saluran perkhidmatan penstriman WeTV iflix, keserasian antara dua watak ini masih belum cukup sampai pada penonton.

Adra mempunyai karakter bercakap seorang diri, sering bersedih dan mempunyai keinginan membunuh diri.

Dalam satu babak, Andre membaca maklumat penyakit bipolar menerusi komputer ribanya secara jelas menunjukkan penyakit yang dihadapi Adra.

Filem ini hanya berlegar pada dua watak ini saja cuma sesekali muncul tiga watak pembantu, Wanna Ali (pemilik kafe), Aman Shah (bapa Adra) dan juga Amirul Haswendy (doktor).

Jika ingin mencari suatu kelainan dalam filem ini, syot-syot permandangan gunung, itik berenang dalam tasik, kereta api bergerak di atas rel dan kafe boleh dijadikan modal untuk menjual filem ini. Dron membantu mencantikkan syot termasuk skor muzik.

Penonton akan lebih kenal dengan karakter Andre pada akhir babak filem ini.

Filem ini mungkin pada jangkaan awal dianggap berat kerana mengangkat kisah pesakit mental tapi perjalanan plot agak mudah dan tidak terlalu dramatik meskipun ia adalah babak membunuh diri.

Selepas babak pertama Adra cuba bunuh diri gagal, persoalan seterusnya mungkin bermain di fikiran penonton, apakah Adra berjaya bunuh diri?

Mesej dan pengajaran filem ini jelas ditujukan pada masyarakat agar lebih faham kehidupan pesakit bipolar. Naskhah ini disifatkan ringan dan sesuai untuk tontonan semua peringkat umur.

Banyak aspek yang perlu dikaji dan dibincangkan jika filem ini dibuat ‘post-mortem’ untuk tujuan meningkatkan nilai seni dan mencari standard sebuah filem.

Filem Aku Bukan Gila ditayangkan secara percuma menerusi saluran perkhidmatan penstriman, WeTV iflix.

Syabas buat produksi Pencil Pictures and Records dan pengarahnya Rahila Ali yang bertanggungjawab dalam menyiapkan filem ini.

Suatu filem itu memang tidak mungkin sempurna sepenuhnya tapi tidak salah untuk penonton khusus penggiat seni tempatan meraikan filem ini agar ia ditonton dan menjadi bahan bualan serta sebagai rujukan pada pembikin filem lain. Ingat kata Adra, “Mana ada JAIS kat sini”.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.