25/11/2020

Kafebuzz

Portal Hiburan Komprehensif

Kisah pesakit COVID-19: Isopod bukanlah peralatan perubatan magis, ia juga bukan keranda

2 min read

Seorang pesakit meronta-ronta mahu keluar dari isopod.

Dengan keadaannya yang masih batuk-batuk, cecair kahak bersembur ke merata-rata. Topeng muka yang diberikan hilang entah ke mana.

Bagi memudahkan urusan perjalanan, saya terpaksa memberikan ubat penenang kepada pesakit supaya dia dapat tidur.

Saya faham, penduduk mungkin takut dengan isopod. Malah, saya juga menerima aduan bahawa pihak hospital dikatakan meletakkan pesakit yang masih hidup ke dalam keranda.

Ia dilihat sebagai satu tindakan kurang berpatutan kerana seolah-olah mendoakan perkara tidak baik kepada pesakit. Isopod bukanlah peralatan perubatan magis. Ia juga bukan keranda.

Tak! Ia hanyalah satu bekas plastik yang berbentuk beg kompartmen dan akan menghasilkan satu ruang dengan tekanan udara negatif berbanding udara dari luar, apabila suis pam anginnya dihidupkan.

Tujuannya cuma satu, untuk mengurangkan risiko jangkitan virus terhadap petugas perubatan.

Kemudahan isopod yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Ia sebenarnya disarankan untuk semua pesakit COVID-19 tetapi kita tiada wang untuk membeli banyak isopod. Harganya memang mencecah lima angka.

Oleh itu, setiap hospital cuma ada 1-2 isopod sahaja. Saya biasanya akan mengutamakan pesakit yang mempunyai peratusan untuk menghasilkan cecair bawaan udara ketika pesakit di hantar ke mana-mana pusat rawatan menggunakan ambulan.

Pesakit sebegini adalah mereka-mereka yang memerlukan penggunaan bantuan oksigen berkepekatan tinggi, yang dilakukan prosedur intubasi atau pesakit bergejala berisiko tinggi (iaitu mereka yang tidak boleh bekerjasama bagi memakai pelitup muka).

Ini kerana, ruang belakang ambulan adalah berbentuk kompartmen tertutup yang berisiko menyebabkan virus boleh berterbangan di dalamnya. Ini sekaligus akan membahayakan frontliner.

Situasi kes COVID-19 yang semakin membimbangkan orang ramai.

Penggunaan isopod adalah selamat. Kami sendiri telah membuat uji-kaji dengan meletakkan staf perubatan di dalamnya sebelum menggunakan ia untuk pesakit.

Cuma, ia kurang sesuai untuk mereka yang ada klaustrofobia atau tidak boleh mengikut arahan. Tapi, penggunaan ubat sedatif boleh membantu proses ini jika keadaan pesakit sesuai.

Oleh itu, sebarkan mesej ini seramai mungkin khususnya kepada orang kampung di Semporna agar mereka tidak takut lagi apabila dimasukkan ke dalam isopod.

  • Kisah pesakit COVID-19 ini dikongsi Muhamad NaĆ­m Ab Razak yang turut dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.