Pandemik COVID-19 masih mengganas, Papa Rock lebih ganas bersama buah tangan terbaharu

Kehebatan Papa Rock memang tiada ganti.

Lontaran vokal yang masih ‘power’ pada usia emas, populariti lagu terus malar segar, aura Datuk Ramli Sarip sentiasa memukau peminat hingga kini.

Menginjak usia 68 tahun, beliau masih memenuhi pelbagai jemputan program kesenian dan muzik di Malaysia.

Tiada penyanyi mampu menandingi kehebatan vokal Papa Rock.

Pada masa ini, tidak ramai penyanyi yang berpeluang mengadakan persembahan pentas. Namun, perjalanan seni Papa Rock tidak hanya terhenti ketika pandemik COVID-19 masih mengganas.

Istimewa buat peminat, beliau bakal muncul dengan buah tangan terbaharu.

Papa Rock bakal muncul dengan album penuh terbaharunya dengan kerjasama
BOSS PRODUCTION PTE LTD.

Projek tersebut menjadi kenyataan selepas Pengurus Besar BOSS PRODUCTION PTE LTD (BPPL), Muhammad Rizal Rasudin mengambil inisiatif berkolaborasi dengan ‘the living legend’ ini untuk penerbitan sebuah album studio baharu.

Kerjasama ini dilakukan dengan tujuan menyuntik semangat pengkarya yang masih aktif tidak kira artis lama atau baharu apatah lagi sesuatu harus dilakukan bagi memastikan industri muzik terus bernafas.

BPPL yang diperbadankan dua tahun lepas, kekal aktif dengan aktiviti utama mereka iaitu Pengurusan Konsert dan Acara.

Papa Rock bersama Muhammad Rizal Rasudin menjalinkan kerjasama untuk pembikinan album terbaharu.

Menariknya, BPPL juga bergerak sebagai platform media sosial untuk sesiapa yang ingin menguar-uarkan produk atau bisnes mereka secara digital.

Bercerita perkembangan album terbaharu Papa Rock ini, pembikinannya sudah siap sebanyak 50 peratus. Bagaimanapun, judul album ini belum ada.

Album penuh yang memuatkan 10 lagu ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini. Antara lagu yang disiapkan di Kuala Lumpur sebelum berlakunya COVID-19 ialah Srikandi Zaman, Sentosa Di Kubah Hayat, Surat Cinta Kuala Lumpur, Bersimpul di Serambi dan Cinta Di Sebalik Musim.

Baki lima lagu lagi akan dirakam di Singapura. Album ini akan dicetak sebagai album fizikal dan juga diedarkan secara digital.

Persembahan Papa Rock sentiasa membuai perasaan peminat.

Bersesuaian dengan perubahan trend pembelian muzik secara digital yang menjadi pilihan masa kini, maka cetakan cakera padat (CD) hanya akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad.

Jika Datuk Seri Siti Nurhaliza, satu-satunya Artis Malaysia yang meriliskan album penuh beliau berjudul ManifestaSITI2020 pada Julai 2020, Ramli Sarip pula adalah Artis Pertama Singapura yang akan merilis albumnya tidak lama lagi.

Ini adalah album penuh beliau ke-21. Himpunan lagu koleksi beliau juga banyak dipakejkan semula yang hampir mencecah lebih dari 100 album. Beliau juga banyak mempunyai album rakaman konsert live sebanyak 11 DVD dan Audio CD konsert.

Pada usia 68 tahun, Papa Rock masih gagah menyanyi dan membuat persembahan pentas.

Menariknya, album ini turut menggabungkan kehebatan pemuzik-pemuzik Singapura dan Malaysia. Pemuzik Singapura terdiri daripada Din Safari, Addy Rasidi, Riduan Zalani dan Al Hafiz Jamat manakala Allahyarham Fauzi Samin, Tom Anuar, Rio Rasul dan Rizal Halim pula dari Malaysia.

Pengedaran album ini di Singapura akan diuruskan sendiri BPPL bersama Ramli Sarip Fan Club. Bagi pengedaran di Malaysia selain dari Ramli Sarip Fan Club Malaysia, ia masih lagi dicari.

Lagu-lagu Papa Rock terus menjadi malar segar pada peminat pelbagai generasi.

Nantikan pelancaran album ini di semua platform media sosial BPPL dan Datuk Ramli Sarip Official.

Peminat Papa Rock boleh mengikut perkembangan penyanyi idola mereka ini menerusi Facebook dan Instagram BPPL serta di akaun media sosial Ramli Sarip sendiri iaitu Facebook & Instagram: Ramli Sarip Official.

  • Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*