“Pengarah FDAM tidak perlu terjerit-jerit pada pelakon tapi tegur dengan cara baik. Nak jadi pengarah sombong buat apa?” – Mat London
3 min read
“Saya nak bila penonton tengok filem anda, ada 2 atau 3 orang sakit jantung!”.
Kata-kata pengarah filem otai, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London itu disambut gelak tawa peserta Bengkel Pengarahan Peringkat 1 anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).
Bunyinya seperti seloka tapi ada juga seolah unsur kejam terhadap penonton.
Apa yang dimaksudkan Presiden FDAM itu sebenarnya adalah mahu memberi semangat dan tunjuk ajar pada pengarah tempatan agar lebih peka dalam aspek pengarahan dan menjaga kualiti sesebuah karya yang dihasilkan.
“Pengarah perlu ‘multitasking’ dalam segala aspek termasuk solekan dan pakaian yang digunakan pelakon ketika di set penggambaran,” katanya dalam program yang diadakan di studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, pengarah perlu tahu bagaimana memilih dan melatih pelakon mengikut karakter yang diberikan dengan melakukan ‘character drawing’.
“Pengarah perlu banyak kali baca skrip untuk menjadikan karya itu lebih baik. Jangan putus asa sebaliknya menjadi kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
“Begitu juga, pengarah juga perlu ada ‘wow factor’ dan bukannya menghasilkan filem syok sendiri. Apabila dapat skrip buat kajian pada setiap karakter,” katanya.

Dalam berseloroh, beliau juga bertegas setiap pengarah khususnya ahli FDAM harus berbudi bahasa dan bersikap mesra dengan semua kru tidak kira pelakon atau kru produksi.
“Sukar mendefinisikan bagaimana mendapat filem berkualiti. Pengarah perlu menunjukkan bagaimana kualiti dalam sesuatu babak tersebut dihasilkan berdasarkan kreativitinya sebagai pengarah.
“Pengarah FDAM tidak perlu terjerit-jerit pada pelakon tapi tegur dengan cara baik. Nak jadi pengarah sombong buat apa?,” ujarnya.

Pada acara yang dijalankan selama sehari itu, Mat London turut berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dalam aspek teknik kamera yang betul dan melatih pelakon menjiwai setiap karakter dengan berkesan.
Seramai 45 peserta termasuk dari luar Lembah Klang datang mengambil bahagian dalam acara julung kali ini yang disediakan khusus untuk ahli FDAM.
Ujarnya, program ini berjaya menarik perhatian ramai ahli FDAM untuk turut serta dan melebihi sasaran 20 peserta pada peringkat awal.
Dalam acara tersebut, peserta juga didedahkan soal filem bajet rendah yang dikendalikan oleh Datuk Zulkiflie M Osman dan teknik pengarahan filem pendek bersama Zaki Abdul Rahim serta tips memilih kamera untuk tujuan penggambaran.





- Kafebuzz.my