04/12/2020

Kafebuzz

Portal Hiburan Komprehensif

[Eksklusif] “Ramai boleh bercakap isu filem Malaysia tapi saya tidak mahu dilabel tin kosong” – Dr Ahmad Idham

3 min read

Filem Malaysia ke persada dunia.

Tagline tersebut pernah digunakan ketika penganjuran Festival Filem Malaysia sebelum ini.

Ia menimbulkan persepsi dalam kalangan penggiat seni dan masyarakat sebagai penonton apakah filem kita mampu pergi ke peringkat antarabangsa atau hanya dianggap jaguh kampung.

Pengarah filem terkenal, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri cuba mencari jawapan pada persoalan tersebut sama ada ia hanya cakap kosong atau wujud kajian yang membuktikan sesuatu terhadap faktor filem tempatan boleh berjaya di peringkat global.

Menerusi kajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd) yang dijalankannya sejak 7 tahun lalu, beliau turut mengkaji ekosistem perfileman tempatan.

“Pada masa itu semua orang bercakap filem Melayu tidak boleh ke luar negara tapi itu cuma cakap mulut.

“Saya sendiri percaya mesti ada sesuatu yang menjurus pada persepsi tersebut apatah lagi kenyataan itu tidak disokong dengan sebarang kajian akademik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Kafebuzz.

Ahmad Idham (tiga dari kiri) bersama panel penilai ketika pembentangan Viva Voce kajian PhD di Universiti Utara Malaysia (UUM). (Foto: Ahmad Idham)

Menurutnya, kajiannya mendapati filem Melayu berpotensi di bawa ke luar negara tapi ekosistem perfileman tempatan perlu dikaji secara lebih mendalam.

Dalam tajuk tesis PhD beliau iaitu ‘Ekosistem dan Dasar Industri Perfileman Malaysia: Satu Kajian Ke Atas Pengantarabangsaan Filem Melayu’, kajian juga dijalankan dengan mengambil kira kejayaan filem luar negara.

“Kita perlu tengok apa sebenar isunya, adakah ekosistem yang kita ada menjadikan semua pekerja buat kerja masing-masing, tidak bergerak serentak dan bersatu.

“Begitu juga, universiti mempunyai cara mereka dan industri perfileman kita bergerak dengan cara tersendiri sehingga sektor pelancongan juga tidak melihat aspek pemasaran filem sebagai satu ekosistem,” katanya.

Ahmad Idham berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang pengurusan selepas 7 tahun. (Foto: Ahmad Idham)

Jelasnya, industri perfileman Malaysia tidak mempunyai dasar khusus membawa filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Pada masa itu, kita cuma ada ‘tagline’, Filem Malaysia Ke Persada Dunia, tetapi tiada ‘roadmap’.

“Mengambil contoh filem India berjudul Slumdog Milionaire yang berjaya menang anugerah Oscar. Apakah strategi yang mereka guna hingga berjaya?

“Dalam soal filem Malaysia, kita harus mencari identiti filem kita sendiri. Adakah filem Melayu, Cina, India atau semua bahasa dianggap filem Malaysia.

“Hakikatnya, tiada kajian nyata atau dasar yang diwartakan menyatakan filem Melayu adalah filem Malaysia,” katanya.

https://www.instagram.com/p/CE6YutuFk7h/?igshid=1vkkxid4d73mm

Pengarah filem pecah panggung Hantu Bonceng ini juga menjelaskan aspek pemasaran perlu diambil kira sebagai formula kejayaan sesebuah filem.

“Apakah konteks, garapan atau penceritaan yang dilakukan dan ini perlu dibuat kajian. Kejayaan filem Slumdog Milionaire yang diarahkan orang bukan India boleh kita guna pakai sebagai formula.

“Kita perlu mencuba dan tidak salah atau rugi untuk mencuba pengarah dari luar negara mengarah filem Malaysia tetapi selepas itu, filem Parasite dari Korea membuktikan orang mereka sendiri boleh berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Impian filem Malaysia ke Oscar

‘Filem Malaysia Ke Persada Dunia’ pernah digunakan sebagai tema penganjuran.

Dr Ahmad Idham yang mempunyai PhD dalam bidang Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) percaya kejayaan sesebuah filem di peringkat global perlu mempunyai perancangan yang teliti.

“Saya gembira apabila Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah cakap filem kita menuju ke Oscar kerana kita perlu ada kajian dan ‘roadmap’. Filem Slumdog Milionaire adalah salah satu strategi atau formula yang boleh kita gunakan untuk mengangkat filem Melayu ke persada dunia.

“Ini merujuk pada kerangka atau ‘roadmap’ yang perlu dibuat. Kajian saya ini juga memberi isyarat, jika mahu bercakap sesuatu biarlah ada sokongan dokumentasi yang holistik.

“Tidak dinafikan ramai dalam kalangan kita yang boleh bercakap isu filem Malaysia tapi saya tidak mahu dilabel tin kosong,” katanya.

Kajian dalam tesis PhD Ahmad Idham turut memahami ekosistem perfileman tempatan.

Sebagai perancangan, Ahmad Idham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bercadang untuk meletakkan salinan kajian tesis PhD itu di perpustakaan FINAS untuk berkongsi ilmu dengan penggiat seni lain.

“Harapan saya agar selepas ini lebih banyak kajian dilakukan orang lain dan kajian ini juga diharap membakar semangat orang industri kita,” katanya.

Filem dari India, Slumdog Millionaire menjadi contoh filem Asia yang berjaya menang anugerah Oscar.

Tambahnya, sukar untuk menentukan jangka masa sama ada filem Melayu mahupun filem Malaysia itu sudah bersedia dan berjaya di peringkat antarabangsa.

“Masa tidak boleh tentukan tapi sekurangnya kita sudah mula mengumpul info mengenai industri ke arah lebih nyata dalam bentuk ilmiah,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.