Ramai Masih Harapkan Dapat Jalur Gemilang Percuma…

Mana Jalur Gemilang?

Ada tapi tak ramai atau tak banyak yang menggantung Jalur Gemilang. Kenapa?

Lazimnya, ramai yang pasang Jalur Gemilang di kenderaan sebab dapat percuma sama ada ketika melalui tol atau hadir ke program atau acara tertentu.

Di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) memang meriah dengan Jalur Gemilang yang dipasang di luar rumah di setiap tingkat.

Namun, dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkenderaan masih kurang memasang Jalur Gemilang.


Saifuddin (lima dari kanan) turut turun padang mengagihkan Jalur Gemilang secara percuma kepada orang ramai baru-baru ini. (Foto: KKMM)

Soalan klise, apakah kesedaran rakyat Malaysia terhadap meraikan Hari Kebangsaan semakin pudar?

Atau mungkin faktor utama Jalur Gemilang yang diedarkan secara percuma semakin kurang berbanding tahun sebelumnya?

Dalam laporan media massa hari ini, sebanyak 300,000 Jalur Gemilang diedarkan seperti mana dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimeda, Datuk Saifuddin Abdullah.


Orang gelandangan tidak terkecuali menerima Jalur Gemilang percuma sebagai meraikan Hari Kemerdekaan Ke-63 yang disambut pada tahun ini. (Foto: KKMM)

Mengapa tidak banyak Jalur Gemilang diedarkan secara percuma?

Jangan marahkan rakyat Malaysia sebab nengharapkan benda percuma.

Situasi tersebut bukan norma baharu tapi persepsi rakyat Malaysia, jika boleh dapat percuma buat apa nak beli.

Satu lagi isu, bagaimana rakyat Malaysia boleh dapat Jalur Gemilang?

Sebenarnya banyak cara boleh dilakukan untuk beri Jalur Gemilang percuma antaranya pembabitan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan.

Inilah masa terbaik untuk syarikat mahupun NGO berbakti pada negara tercinta dengan memberi Jalur Gemilang percuma kepada rakyat Malaysia.

Jangan terlalu berkira soal Jalur Gemilang percuma kerana usaha sebegini sedikit sebanyak mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kita ada banyak syarikat korporat yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan kewangan stabil, mustahil disebabkan Jalur Gemilang boleh memberi kesan besar pada operasi jadi muflis.

Hari Kemerdekaan negara pada tahun ini disambut dalam suasana norma baru.

Seperkara lagi, percaya atau tidak sukar nak beli Jalur Gemilang di mana-mana kedai. Mungkin paling mudah beli saja coklat Jalur Gemilang pada mamak ‘tin-tin’ yang jual roti naik motosikal.

Bagaimanapun, usaha dilakukan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengagihkan Jalur Gemilang secara percuma kepada orang ramai dan peniaga baru-baru ini adalah pendekatan yang patut dicontohi syarikat korporat lain.

Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 kali ini, marilah kita semua berfikir apakah hari bersejarah negara ini memberi apa-apa makna atau sekadar cuti umum bawa kekasih keluar makan.

  • Kafebuzz.my


Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*