Nasib Anak Seni Tempatan Akibat COVID-19 Diambil Peduli Kerajaan
2 min read
Selama ini mereka hanya meluahkan perasaan di media sosial.
Sedar atau tidak, industri seni hiburan turut terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Tidak banyak aktiviti dapat dilakukan anak seni sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, semalam bagaikan memberi sinar baru pada penggiat seni apabila satu perjumpaan diadakan bersama Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz.
Dalam satu status dikongsi Menteri tersebut menerusi media sosial, beliau mengakui industri kreatif negara antara sektor yang terjejas akibat penularan Covid-19.
“Saya telah mengadakan perbincangan bersama wakil industri berkenaan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan dalam merangka Pelan Pemulihan Ekonomi (Jangka Pendek-Sederhana),” katanya.

Menurutnya, antara yang hadir adalah Datuk Ramli Ibrahim dari Sutera Foundation, June Tan (Five Arts Centre), Mohd Jaafar Ismail (Fergana), Jo Kukathas (Instant Cafe Theater), Khairul Ridzwan Annuar (MonoloQue) dan Mohd Nizam Abd Razak (BoBoiBoy).
Jelasnya, pada pertemuan itu beberapa topik dibincangkan antaranya sokongan untuk meningkatkan industri animasi Malaysia di persada antarabangsa dan galakan penggunaan teknologi industri berkaitan.

Tidak terkecuali, sokongan kewangan buat karyawan yang terkesan (‘buskers’, pemuzik jalanan, pelakon dan lain-lain), pembukaan semula pusat seni dengan SOP yang jelas serta langkah yang diperkenalkan negara-negara lain bagi membantu industri kreatif.
“Kementerian amat berterima kasih kepada semua yang hadir dan akan mempertimbangkan pandangan dan saranan yang dikemukakan,” katanya.
- Kafebuzz.my