Berakhir Zaman Hans Isaac, Ahmad Idham…

Setahun lalu ia seakan membawa berita gembira.

Penggiat seni percaya adanya artis dalam pengurusan tertinggi kerajaan mampu membawa pencapaian lebih baik atau paling tidak memperjuangkan kebajikan artis sendiri.

Dua artis yang dikategori popular, Datuk Hans Isaac bersama Ahmad Idham Ahmad Nadzri dipilih untuk menerajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Masing-masing dilantik memegang portfolio penting iaitu sebagai Pengerusi manakala Ahmad Idham buat pertama kali memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Belum sampai setahun mereka berdua digandingkan dalam satu gelanggang, masing-masing mula ‘tunjuk taring’ apabila khalayak terdengar berlakunya perselisihan faham antara mereka sehingga masing-masing membawa haluan sendiri.

Susulan insiden itu, Ahmad Idham memberi kejutan apabila menghantar surat perletakkan jawatannya sebagai CEO dan perkhidmatannya berakhir pada 10 Mac lalu. (Baca lagi: Jodoh Ahmad Idham Bersama FINAS Hanya Setahun).

Meskipun dia pada masa itu kembali bekerja selepas bercuti ke luar negara, ada rakan artis menyangka hero sitkom Spanar Jaya itu membatalkan hasratnya untuk meninggalkan FINAS hanya dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, telahan itu meleset selepas gambarnya ketika ‘punch card’ terakhir dikongsi menerusi media sosial agensi kerajaan itu.

Hanya tinggal Hans selepas itu mengemudi FINAS nampaknya jodoh beliau juga tak panjang selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia juga tiada jawatan lagi.

Sehari sebelum umat Islam di negara ini meraikan Aidilfitri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tampil dengan satu kenyataan media memaklumkan pelantikan baharu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berkuat kuasa 23 Mei lalu.

Bekas Ketua Keadilan Cabang Bera, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zakaria Abdul Hamid dilantik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Pengerusi FINAS yang baharu manakala penyanyi rap popular yang juga usahawan, Datuk Norman Abdul Halim menjadi Timbalan Pengerusi.

Satu sidang media bersama Pengerusi baharu FINAS akan diadakan pada pagi ini di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS Hulu Kelang, Selangor.

Jika sebelum ini gandingan Hans bersama Ahmad Idham difikirkan serasi dalam memajukan industri perfileman tempatan kini duo baru, Zakaria dengan Norman pula menjadi pertaruhan.

Jika Hans pernah menyatakan Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) dirinya dinilai setiap 3 bulan bagaimana pula rentak dua pemimpin baharu kali ini.

Pastinya banyak persoalan bermain di fikiran penggiat seni terhadap duo baharu ini tetapi apa yang paling penting adalah apakah nasib penggiat seni kelak berubah atau sama saja seperti zaman pemimpin terdahulu?

Apapun, kita tunggu dan lihat.

  • Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*