Mawi Bagi Hadiah Ramadan Buat Peminat, Amaran Pada ‘Lanun’
1 min read
Hidup di rumah membosankan?
Segelintir berasakan duduk di rumah tidak menyeronokkan meskipun dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Namun bagi mereka yang mencari hiburan menerusi platform di media sosial, banyak program dan kandungan digital menarik yang bermanfaat untuk ditonton.
Penyanyi popular Mawi memberikan sesuatu yang istimewa buat peminatnya termasuk sesiapa saja penduduk di seluruh dunia.

Buat julung kali, juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini menayangkan filem arahannya, Tiada Tajuk yang boleh ditonton secara percuma.
“Filem Tiada Tajuk kat saluran YouTube Mawi World ini bersempena menyambut Ramadan dan sekarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai ada masa terluang duduk di rumah, jadi yang tidak tahu nak buat apa boleh tonton Tiada Tajuk,” katanya kepada Kafebuzz.
Jelasnya, dia mengharapkan tayangan filem arahan pertamanya itu disukai penonton di YouTube dan mendapat manfaat daripadanya.
“Ini juga boleh dikira sebagai hadiah Ramadan pada semua,” katanya.

Dalam berhibur, Raja SMS ini juga memberi amaran pada pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak melakukan cetak rompak terhadap filem tempatan.
“Pastikan anda menonton di YouTube Mawi World sebab ada saluran lain turut memuat naik filem Tiada Tajuk.
“Perbuatan tersebut adalah merompak karya dan saya dalam proses meminta mereka padamkan dan saya juga membuat laporan pada YouTube untuk sekat,” katanya.
- Kafebuzz.my