Perspektif Kritis Filem-Filem Singapura Kontemporari

Dalam filem pendek Singapura, PARTING (2015) arahan Boo Junfeng, penonton diperdengarkan suara latar si gadis Tionghua yang membaca surat-surat tulisannya dalam bahasa Melayu yang dikirim kepada kekasihnya, seorang pemuda Melayu yang sudah berpindah ke (Semenanjung) Malaysia pada tahun 1965.

Pemuda tersebut, yang kini lelaki warga emas, sedang menjejaki bekas kekasihnya itu di Singapura. Penonton kemudiannya dibawa mengikuti babak ‘flashback’ di stesen keretapi sewaktu mereka berdua (ketika masih muda) ingin berpisah.

Kamera Junfeng kemudiannya mendedahkan yang mereka sebenarnya adalah pelakon yang sedang berlakon (menjalani penggambaran filem). Lelaki warga emas tadi – yang diselubungi nostalgia – seolah-olah menyaksikan babak perpisahan dengan kekasihnya itu 50 tahun yang lalu.

Nostalgia seringkali mengundang rasa melankolik dan berdimensi utopia, lalu mengaburkan masa lalu dan kini, realiti dan fantasi.

Kecenderungan Junfeng terhadap masa lalu, memori, dan sejarah dapat dikesan dalam filem-filem cerekanya, SANDCASTLE (2010) dan APPRENTICE (2016).

Seorang remaja lelaki 18 tahun yang sedang menghadapi pelbagai kemelut keluarga: kematian datuknya; neneknya sedang mengalami Alzheimer; dan, skandal ibunya dengan seorang lelaki – akhirnya mendapati yang bapanya dahulu pernah terlibat dengan kejadian rusuhan di sekolah menengah Cina sekitar 1956 (yang dikaitkan dengan komunisme).

Wan Hanafi Su turut membintangi filem Apprentice arahan Boo Junfeng. (Foto: Olivia Kwok/Film Movement)

Apprentice, yang mendapat perhatian di Cannes, turut memerihalkan masa silam gelap yang menghantui sebuah keluarga, yang melibatkan hukuman gantung di Singapura.

Yang menariknya, filem-filem Junfeng sering membicarakan hal-hal domestik (seperti hubungan kekeluargaan) bagi mengungkapkan isu-isu pada peringkat nasional.

Sebuah lagi filem yang menyertai Cannes, A YELLOW BIRD (2016) arahan K. Rajagopal, yang menonjolkan milieu getir dan gelap Singapura yang jarang kita saksikan, berkisarkan keterdesakan seorang bekas banduan berketurunan Tamil yang mahu pulang ke pangkal jalan tapi terus terperangkap, terpinggir dan sering menemui kebuntuan.

Setelah hampir dua dekad ‘berkubur’ (semenjak berakhirnya ‘era studio’), sinema Singapura kembali ‘bernyawa’ pada awal 1990-an.

Antaranya kemunculan beberapa sutradara seperti Eric Khoo menerusi filem-filemnya seperti MEE POK MAN (1995), 12 STOREYS (1997), dan BE WITH ME (2005) – yang meletakkan sinema Singapura di persada dunia.

12 STOREYS merupakan sebuah sketsa dengan kisahan sejumlah penghuni (pelbagai etnik, keturunan dan latarbelakang) rumah pangsa di Singapura yang bergelut dengan pelbagai tekanan sosial.

Filem 12 Storeys pernah ditayangkan di Wayang@Budiman, Shah Alam baru-baru ini.

Khoo juga merupakan mentor dan sumber inspirasi kepada pengarah muda seperti Royston Tan dan Boo Junfeng. Seorang lagi pengarah, Djinn (Ong Lay Jin) dikenali dengan filem PERTH (2004), tentang seorang penyelia keselamatan yang bercita-cita untuk berhijrah ke Australia – namun, kehilangan kerja, berhadapan dengan keretakan rumahtangganya, lalu menjadi pemandu kepada seorang pelacur dari Vietnam.

Selain itu, Jack Neo pula merupakan pengarah yang paling berjaya secara komersialnya. Filemnya, I NOT STUPID (2002), merupakan sebuah komedi-satira yang cerdik lagi menyengat, yang menyindir para ibu-bapa di Singapura yang ‘kiasu’ terhadap pelajaran anak-anak serta mengkritik sistem pendidikan Singapura.

Kejayaan luar biasa I NOT STUPID telah mengilhamkan sekuelnya, I NOT STUPID TOO (2006) dan bikinan semula (remake) di Malaysia, AKU TAK BODOH (2010).

Pada tahun 2003, Neo menghasilkan filem HOMERUN yang diinspirasikan dari filem Iran CHILDREN OF HEAVEN arahan Majid Majidi, tentang dua beradik pelajar sekolah yang miskin dengan latar masanya mengambil tempat di Singapura pada 1965 (di ambang kemerdekaan).

HOMERUN turut menyelitkan beberapa rujukan dan bayangan berkenaan hubungan Singapura-Malaysia.

Sutradara kontemporari lain termasuklah Royston Tan yang menghasilkan sejumlah filem pendek yang menonjolkan elemen memori dan nostalgia (dalam pelbagai bentuk).

Filem cereka Tan, 15 (2003) berhadapan dengan pelbagai isu penapisan filem berkenaan kandungan filem tersebut yang berkaitan gengsterisme kerana memaparkan dunia gelap dan kotor sekumpulan remaja gelandangan bermasalah, selain menggunakan dialek Hokkien (yang tidak digalakkan pemerintah Singapura).

Filem seterusnya, 4.30 (2005) mengisahkan hubungan seorang kanak-kanak lelaki yang kesepian (sering ditinggalkan ibunya, ahli perniagaan yang sentiasa ke luar negara) dengan seorang pemuda Korea yang menyewa bilik di pangsapurinya.

Filem 4.30 arahan Royston Tan.

Selepas itu Tan menghasilkan filem-filem komedi yang berorientasikan muzikal: 881 (2008) dan 12 LOTUS (2009) – kedua-duanya tentang ‘getai’ di Singapura, dan yang terkini, 3688 (2015) tentang aspirasi seorang pembantu parkir yang ingin menjadi penyanyi.

3688 turut menjelmakan nostalgia menerusi lagu-lagu pop Mandarin era 1970-an dendangan ikon muzik Taiwan, Fong Fei Fei.

Seorang lagi adalah Sanif Olek yang muncul dengan beberapa filem pendek yang menarik. Filem cereka Sanif, SAYANG DISAYANG (2014, mewakili Singapura untuk Anugerah Akademi), didasari imej, warna dan bunyian yang ‘menggiurkan’ serta disulami dengan detik-detik surreal dan magis, adalah filem tentang masakan dan makanan.

Yang menariknya, SAYANG DISAYANG didasari elemen kenusantaraan yang melampaui status ‘sinema nasional’.

Filem ini, yang turut didasari memori dan nostalgia, meneliti hubungan antara seorang pembantu rumah (dari Indonesia) dengan tuan rumahnya (yang lumpuh). Sambal goreng si pembantu rumah sering dikritik kerana tidak mencapai kehebatan sambal goreng arwah isterinya.

Seorang lagi pengarah yang menarik perhatian saya adalah Anthony Chen, yang mendapat anugerah Camera D’Or di Festival Filem Cannes dengan filem cereka sulungnya, ILO ILO (2013), yang sebelum itu telah menghasilkan sejumlah filem-filem pendek yang menjelajah ke beberapa festival filem antarabangsa.


Anthony Chen meraih anugerah Camera D’Or di Festival Filem Cannes menerusi filem cereka sulungnya, ILO ILO. (Foto: Reuters)

ILO ILO yang menggunakan latar krisis ekonomi Asia sekitar penghujung 1990-an, merakamkan hubungan kanak-kanak lelaki (keluarga kelas pertengahan) dengan pembantu rumah mereka dari Filipina, di samping mengkritik masyarakat Singapura dan sistem pendidikan mereka.

Dengan pendekatan segar dan perspektif kritis, para pengarah berbakat tadi memaparkan realiti sosial yang berlaku sehari-hari (contohnya, penggunaan dialek dan Singlish).

Hal ini berkonflik dengan realiti sosial yang dipromosikan pemerintah (penggunaan bahasa Mandarin dan Inggeris yang standard), di samping layaran cityscape (landskap bandaran) yang berbeza dari – dan tidak seindah – ‘imej rasmi’ seperti dalam iklan Singapore Tourism.

Kebanyakan karya mereka menyentuh isu, permasalahan dan impian sosio-politik Singapura, termasuk hubungan hari ini dengan masa lalu (melalui elemen memori, nostalgia dan sejarah) – pengisian dan persoalan yang terus mentakrifkan sinema Singapura kontemporari.

  • Artikel ini ditulis Dr Norman Yusoff merupakan Ketua Pusat Pengajian Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  • Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*