Last Updated: 29/03/2020 - 1:11 PM

Perlu Pelihara Sejarah Audio Visual Negara – Gobind Singh

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyentuh tentang perlunya merumuskan kerangka kerja nasional untuk pendigitalan koleksi filem dan audio visual negara.

Ini, katanya, boleh dilaksanakan menerusi pendekatan kerjasama melibatkan semua pihak berkepentingan seperti kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, organisasi peringkat nasional, badan bukan kerajaan dan badan bukan berasaskan keuntungan, institusi penyelidikan dan pengajian serta sektor swasta.

“Yang pasti wujud keperluan mendesak untuk memelihara sejarah audio visual kita dalam usaha untuk mewujudkan nilai dan faedah kepada semua rakyat Malaysia dan generasi kita akan datang,” katanya semasa melancarkan Pusat Kecemerlangan DAMsmart Asia di sini, hari ini.

Gobind turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara rakan kongsi kerjasama membabitkan DAMsmart, Australia, TransMedia Dynamics, United Kingdom dan Silvertrak, Australia.

Menteri itu berkata beliau gembira menyaksikan usaha kerjasama itu dilaksanakan kerana ia akan membolehkan dan memudahkan proses membabitkan pemeliharaan digital, akses jangka panjang, arkib digital, penjagaan digital, resipotori institusi dan pengurusan rekod digital untuk negara.

“Ini juga bermakna bahawa kerajaan dan agensinya serta perniagaan sektor swasta tidak perlu menghantar arkib berharga negara, swasta atau korporat ke luar negara untuk pemprosesan, kerana semua itu boleh dilakukan di sini di Malaysia,” kata Gobind.

Malah, katanya, Malaysia perlu menyasarkan untuk menjadi pusat sehenti bagi transformasi digital di rantau ini berikutan sejumlah besar pendigitalan aset fizikal dan perkhidmatan berkaitan yang lain kini boleh dilakukan dalam tempoh singkat menggunakan enjin berasaskan AI.

“Saya turut dimaklumkan bahawa tiga syarikat berkenaan sedang berusaha untuk membawa kerja perkhidmatan media kembali ke Malaysia daripada negara Asia Tenggara, sekali gus mewujudkan kerja tambahan dalam sektor media,” katanya.

Menteri itu berkata ini akan membantu mewujudkan tenaga kerja tempatan dengan memiliki kemahiran dalam pendigitalan dan pemuliharaan arkib negara bernilai dan arkib penting lain serta kemahiran dalam pengurusan kandungan, kawalan mutu dan penyediaan kandungan bagi platform penyampaian baharu.

“Ini pastinya baik untuk ekonomi tempatan kita apabila kita melaksanakan dan menangani cabaran era digital dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0),” kata Gobind.

Merakamkan ucapan tahniah kepada konsortium atas usaha membawa pakar bertaraf dunia dan teknologi ke Malaysia, beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka atas keyakinan mereka untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perkhidmatan media mereka di Asia sebagai sebahagian strategi dan visi global mereka, menerusi kerjasama yang dijangka mewujudkan sebanyak 200 peluang kerja dalam bidang teknologi.

Pada sidang media kemudiannya, Gobind sekali lagi menegaskan perlunya untuk memelihara sejumlah besar kandungan audio-visual yang dimiliki agensi seperti Filem Negara Malaysia, RTM, Bernama dan Finas serta sektor swasta.

“Bagi saya, semua itu adalah khazanah negara, ia bersejarah dan sudah tentu ia sesuatu yang kita perlu pelihara,” katanya dan menurutnya satu sistem atau direktori perlu disediakan untuk memudahkan bahan itu diakses kalangan masyarakat dalam era yang semakin canggih.

Beliau turut menyentuh dalam ucapannya sebelum itu bahawa pendigitalan pita magnetik dan pita berasaskan format lain adalah amat penting, terutamanya sekiranya rakaman audio-visual itu mempunyai nilai nasional.

Menteri itu berkata beliau dimaklumkan bahawa tarikh akhir bagi pendigitalan adalah pada 2025, dengan bahan-bahan yang tidak didigitalkan sehingga tempoh itu akan lenyap selama-lamanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino